EKONOMI > BERITA

Steel Hawk Sasar Kumpul RM13.50 Juta Melalui Pemindahan Penyenaraian

16/08/2024 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Steel Hawk Bhd berjaya melancarkan prospektus sempena pemindahan penyenaraiannya yang akan datang daripada Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd ke Pasaran ACE dengan sasaran untuk mengumpul RM13.50 juta.

Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Datuk Sharman K. Michael berkata langkah berkenaan akan memberikan syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu akses kepada platform pengumpulan dana yang lebih luas bagi menyokong rancangan pengembangan selain mempercepatkan lagi inisiatif pertumbuhan jangka panjangnya.

“Unjuran untuk industri minyak dan gas Malaysia adalah positif, malah Steel Hawk berada pada kedudukan terbaik bagi memanfaatkan peluang yang ada dengan sebaik mungkin. Kami menjangkakan lonjakan dalam kontrak berpotensi, ini membolehkan kami melebarkan bahagian pasaran kami dan memacu prestasi kewangan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat itu mahu mengembangkan perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta perkhidmatan penyelenggaraan untuk industri tenaga boleh baharu, khususnya infrastruktur tenaga solar dan hidroelektrik. Daripada hasil itu, RM7 juta (51.85 peratus) akan digunakan untuk mengembangkan kapasiti fabrikasi dengan membina limbungan fabrikasi tambahan di Kemaman, Terengganu.

Daripada 90 juta saham baharu yang akan diterbitkan, 24.50 juta saham baharu, mewakili 5.00 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan, akan dibuka untuk permohonan oleh orang awam Malaysia.

“Sebanyak 12.25 juta saham, mewakili 2.50 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan akan disediakan kepada kakitangan yang layak termasuk individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan (saham merah jambu). Sejumlah 53.25 juta saham baharu, atau 10.87 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan, akan diterbitkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian,” katanya.

Berdasarkan harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM0.15 sesaham dan saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 490 juta saham, permodalan pasaran Steel Hawk semasa penyenaraian ialah kira-kira RM73.50 juta.

“Berikutan pelancaran prospektus, permohonan untuk saham kini dibuka dan akan ditutup menjelang 23 Ogos 2023. Kumpulan itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE pada 5 Sept 2024,” tambahnya.

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan pemindahan penyenaraian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan