EKONOMI > BERITA

Setiausaha Korporat Main Peranan Penting Dalam Pelaporan ESG

18/08/2024 12:30 PM

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Setiausaha korporat, sebagai penyaring maklumat tadbir urus, berperanan penting dalam membimbing syarikat mengukuhkan rangka kerja tadbir urus bagi peralihan ke arah pelaporan kemampanan dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Presiden Persatuan Antarabangsa Setiausaha Korporat (CSIA) Datuk Suseela Menon berkata selaku presiden, adalah menjadi keutamaan untuk bekerjasama dengan organisasi berasaskan penyelidikan yang sesuai dalam penyediaan lebih banyak sokongan kepimpinan pemikiran kepada setiausaha syarikat dan profesional tadbir urus.

Suseela juga merupakan bekas presiden dan ahli majlis Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA).

"MAICSA dan CSIA melakukan banyak kerja untuk membantu organisasi, melalui setiausaha syarikat mereka yang juga kebanyakannya berkhidmat sebagai profesional tadbir urus dalam memacu amalan kelestarian," katanya kepada Bernama.

CSIA telah bekerjasama dengan Trialogue, sebuah organisasi penyelidikan kelestarian dari Afrika Selatan, mengenai projek kepimpinan pemikiran terkini yang bertujuan membangunkan kapasiti setiausaha korporat dan profesional tadbir urus.

“Ianya bermatlamat untuk menyediakan tahap pemahaman serta konteks yang lebih mendalam bagi memperkasakan mereka untuk mengutamakan kelestarian dalam agenda lembaga pengarah, menyesuaikan selain mengukuhkan pendekatan sedia ada dan menyemai amalan ESG dalam organisasi,” katanya.

CSIA telah diperbadankan di Geneva serta dilancarkan di Paris pada Mac 2010 di bawah naungan Perbadanan Kewangan Antarabangsa serta Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebagai Suara Global Setiausaha Korporat dan Profesional Tadbir Urus.

Hari ini, keahliannya melebihi 100,000 setiausaha korporat dan profesional tadbir urus merentasi empat benua.

Suseela menekankan pengurus dana serta firma pelaburan terkemuka global telah memberi tumpuan kepada tadbir urus syarikat dan amalan ESG, sebagai tambahan kepada prestasi kewangan sebelum membuat keputusan pelaburan.

"Ianya telah menjadi amalan mereka sejak sekian lama, cuma kini menjadi lebih ketat dari semasa ke semasa," katanya lagi.

Menurut Suseela, Malaysia mempunyai undang-undang, peraturan dan kod tadbir urus korporat yang cukup mantap.

"Pihak berkuasa kami melakukan tanggungjawab yang baik dalam hal ini. Sebagai presiden CSIA, saya mempunyai akses kepada piawaian negara anggota lain dan standard tadbir urus antarabangsa. Saya juga pernah berjumpa dengan beberapa organisasi antarabangsa yang besar semasa saya berkhidmat,” katanya.

Suseela berkata CSIA merancang untuk membangunkan piawaian tadbir urus global, yang akan dibuat segenerik mungkin bagi disesuaikan dengan negara-negara anggota agar sejajar dengan keadaan tempatan.

“Ini akan membantu negara anggota kami termasuk negara-negara yang belum mempunyai peraturan rasmi dalam hal ini. MAICSA adalah ahli CSIA, dan oleh itu, mendapat manfaat daripada senario antarabangsa yang ditawarkan oleh CSIA,” katanya.

Suseela, yang juga telah dipilih sebagai wakil MAICSA untuk ke Council of the Chartered Governance Institute (CGI), United Kingdom baru-baru ini, berkata beliau ingin melihat rangka kerja kecekapan CGI dilaksanakan dan percaya ianya adalah baik untuk meningkatkan standard serta profil graduan MAICSA.

“Saya akan melihat sama ada saya boleh menyepadukan kerja dalam tadbir urus serta ESG yang dilakukan oleh CGI dan CSIA untuk mencapai kecekapan yang lebih baik selain berkongsi pengetahuan di kalangan anggota kami,” katanya.

Beliau juga akan menghadiri mesyuarat CGI pertamanya di Hong Kong pada awal Oktober depan. Suseela akan merangka strategi yang wajar bagi meningkatkan profil setiausaha korporat dan profesional tadbir urus lain.

“Kami mesti sentiasa bekerja untuk ahli, di peringkat tempatan dan antarabangsa, dalam konteks keadaan yang semakin tidak menentu, kompleks serta samar-samar, selain landskap tadbir urus yang tidak jelas yang mana, setiausaha korporat dan profesional tadbir urus perlu mengemudinya setiap hari,” kata beliau.

Suseela yang turut menjadi pengarah eksekutif wanita pertama dalam Kumpulan UMW, yang mana beliau berkhidmat selama 30 tahun, pernah menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat dalam kumpulan itu, termasuk kumpulan syarikat Perodua.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan