EKONOMI > BERITA

Kerajaan Perpaduan Komited Pastikan Agenda Bumiputera Terus Diberi Keutamaan - Rafizi

19/08/2024 05:18 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Perpaduan komited untuk memastikan agenda bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata komitmen itu sama sekali tidak akan menafikan hak kaum lain sebaliknya, mampu memberi kesan manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara.

Masih banyak ruang dan peluang untuk bumiputera bangkit supaya dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain, malah untuk gah bersaing di pentas dunia, katanya.

“Masih terdapat pelbagai isu yang membelenggu bumiputera pada hari ini, seperti status sosioekonomi yang masih terperangkap dalam kelas menengah dan sederhana serta penyertaan bumiputera yang tertumpu dalam aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang rendah,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di sini, pada Isnin.

Beliau berkata ini menyebabkan jurang pendapatan dan kekayaan antara etnik semakin melebar.

“Dalam hal ini, antara faktor utama adalah berkait dengan ketidakupayaan bumiputera untuk menyumbang secara lebih bermakna kepada ekonomi negara. 

“Hasrat kerajaan untuk mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera belum tercapai sepenuhnya,” katanya. 

Rafizi berkata perusahaan bumiputera dilihat mempunyai kurang keupayaan dan kemampuan untuk mencipta nilai dan mengembangkan perniagaan apabila sebahagian besar daripada perusahaan adalah bersaiz mikro dan kecil. 

“Keterbatasan modal dan sokongan pada peringkat awal, terutama syarikat pemula niaga, turut menjadi faktor kepada isu ini yang seterusnya menyebabkan kebergantungan berterusan kepada geran dan pembiayaan kerajaan.

Mengulas mengenai PuTERA35, beliau berkata ia merupakan satu langkah proaktif untuk mengangkat darjat dan martabat bumiputera. 

“Pelan ini menggagas tiga teras yang sejajar dengan Ekonomi MADANI iaitu pertama, memperkukuh pasak ekonomi negara; kedua, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi; dan ketiga, menegakkan keadilan sosial,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan