EKONOMI > BERITA

MACEOS Sasar Kerjasama Antarabangsa Untuk Lonjak Ekonomi Malaysia

21/08/2024 11:56 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS) menyasar untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan pemain industri asing melalui acara perniagaan bagi memperkukuh ekonomi negara.

Presiden MACEOS Datuk Dr M Gandhi berkata persatuan itu menggalakkan ahlinya menumpukan usaha membawa masuk teknologi dan pempamer yang relevan dari luar negara justeru, memastikan sumbangan itu sejajar dengan matlamat ekonomi dan pembangunan negara.

“Kita perlu membawa pempamer yang sesuai dari luar negara dan memperkenalkan teknologi yang relevan kepada  Malaysia seperti dalam industri elektrik dan elektronik, aeroangkasa dan perkhidmatan.

“Menerusi pemupukan kerjasama antarabangsa yang strategik, MACEOS menyasar untuk memartabatkan industri tempatan di samping memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata usaha itu termasuk kerjasama sulung dengan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) dalam Minggu Acara Perniagaan Malaysia (MBEW) 2024, yang mengetengahkan EVENTXPO 2024.

EVENTXPO 2024 bertemakan “Everything, Everywhere, Events!” yang menampilkan 99 reruai berlangsung dari 19 hingga 21 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Acara itu mengetengahkan bengkel interaktif, perkongsian pandangan jauh pakar industri serta pameran kerjaya untuk kalangan penuntut dan profesional meneroka peluang dalam industri itu.

Gandhi berkata acara tiga hari EVENTXPO 2024 dijangka menarik 3,000 pengunjung.

“Edisi pertama ini telah mencapai kejayaan setakat ini. Saya dapat melihat perbincangan diadakan antara Thailand dengan Malaysia, serta dengan Indonesia.

“Kami berharap dapat menjalinkan hubungan jangka masa panjang dengan bahagian lain di dunia yang berbeza dan menyediakan platform penting untuk pertukaran pengetahuan dan rangkaian daripada acara ini,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 550 mesyuarat perniagaan dengan 40 pembeli yang dihoskan telah diadakan pada sepanjang dua hari lepas.

Acara itu juga mengetengahkan “Cabaran Belia Kebangsaan MACEOS” untuk menggalakkan bakat muda membentangkan idea acara perniagaan inovatif mereka.

Gandhi berkata industri acara perniagaan diharapkan dapat melonjakkan ekonomi menerusi usaha menarik pengunjung berbelanja lebih tinggi yang tinggal lebih lama dan berbelanja lebih untuk penginapan dan hiburan.

Ini sejajar dengan persediaan Malaysia untuk mengambil alih jawatan pengerusi Asean pada 2025, selain bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, katanya.

Beliau berkata industri acara perniagaan mesti memanfaatkan sepenuhnya peluang itu untuk memastikan kedua-dua manfaat ekonomi serta-merta dan sumbangan jangka panjang kepada pembangunan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan