EKONOMI > BERITA

Bubbles O2 Sasar Hasil Jualan RM22 Juta Pada 2025

22/08/2024 08:48 PM

REMBAU, 22 Ogos (Bernama) -- Syarikat peneraju industri air mineral beroksigen semula jadi di Malaysia, Bubbles O2 Sdn Bhd menyasarkan untuk mencapai jualan bernilai RM22 juta tahun depan.

Pengarah Urusan Bubbles O2, Ain Azizah Arifin berkata beliau optimis sasaran itu mampu dicapai berikutan jenama tersebut dilihat semakin kukuh di pasaran domestik serta beberapa pasaran antarabangsa termasuk di Brunei dan Dubai.

“Tahun ini kita sasarkan nilai jualan RM10 juta tapi setakat Jun lepas ia sudah merekodkan RM15.8 juta.  Alhamdulillah, sasaran tercapai dan melebihi sasaran...setiap tahun kita sasarkan peningkatan 30 peratus.

“Pencapaian itu didorong oleh pelanggan itu sendiri, antara faktor kejayaaan mencapai sasaran susulan maklumat produk disampaikan pelanggan dari mulut ke mulut (pelanggan mengesyorkan produk Bubbles O2 kepada orang lain sehingga ia dikenali ramai), kepercayaan pelanggan terhadap produk sehingga kami terima permintaan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pusat pengilangan baharu Bubbles O2 di sini hari ini.

Ia dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Bubbles O2, Arifin Marzuki.

Ain Azizah berkata air Bubbles O2 dijual di 5,000 premis di seluruh negara setakat ini termasuk di stesen minyak, hypermarket dan koperasi sejak penubuhannya pada 2019, selain itu syarikat itu turut menaja acara sukan berprestij seperti Le Tour de Langkawi.

“Setakat ini kami mampu menghasilkan 100,000 botol air mineral sehari dan mempunyai lima pejabat iaitu di Rantau dan Pedas di Negeri Sembilan; Kajang, Bandar Baru Bangi dan Kota Bharu, Kelantan...sasaran seterusnya untuk membuka pejabat di negeri-negeri wilayah utara," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata syarikat itu akan memperluaskan pasaran globalnya ke Afrika Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan berdasarkan potensi produk itu berkembang maju.

Mengulas mengenai pembukaan pusat pengilangan baharu itu, Ain Azizah berkata ia adalah langkah penting untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat serta memperluaskan rangkaian produk, pada masa sama menyasarkan untuk melipatgandakan pengeluaran.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan