EKONOMI > BERITA

Gotion High-Tech China Rancang Bina Kilang Di Malaysia

22/08/2024 10:01 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 22 Ogos (Bernama) -- Pembuat bateri China, Gotion High-Tech Co Ltd (Gotion) merancang untuk membina kilang pemasangan pek bateri di Malaysia bagi meningkatkan kehadirannya di Asia Tenggara, kata Naib Presiden Kanan dan Presiden Unit Perniagaan Asia Pasifik Dr Qian Cheng.

Bercakap kepada Bernama di luar Persidangan Teknologi Bateri ASEAN kali kedua (ABTC 2024) di sini pada Khamis, beliau berkata projek itu kini di peringkat perbincangan namun enggan memaklumkan lebih lanjut mengenai butirannya.

“Sel bateri akan datang dari China. Buat masa ini, masih belum dimuktamadkan jadi saya tidak boleh mendedahkan banyak perkara,” katanya.

Syarikat itu kini mempunyai kilang pemasangan bateri di Indonesia dan Thailand.

Kilang sel bateri pertamanya di ASEAN, yang terletak di wilayah Ha Tinh, Vietnam, bersedia untuk memulakan pengeluaran pada Oktober.

Gotion juga mempunyai lapan pusat penyelidikan dan pembangunan di seluruh dunia, termasuk di Lembah Silikon Amerika Syarikat dan Singapura.

Qian berkata pihaknya yakin dengan pasaran ASEAN, terutama dengan usaha pengelektrikan yang giat di rantau ini.

“Kami juga sangat berminat untuk mewujudkan kilang pembuatan sel di Asia Tenggara. Saya berpandangan kini adalah masa untuk Asia, terutama untuk rantau ASEAN,” tambahnya.

 ABTC 2024 yang diadakan dari 21 hingga 23 Ogos di Sentosa telah menarik lebih 320 peserta dari 16 negara.

Acara itu mengetengahkan perbincangan mengenai peraturan keselamatan bateri, teknologi melengkapkan sel menjadi pek bateri serta strategi kitar semula di seluruh ASEAN, antara lain.

 ABTC 2024 dihoskan oleh Konsortium Bateri Singapura dan dianjurkan bersama oleh NanoMalaysia Bhd, Persatuan Teknologi Penyimpanan Tenaga Thailand, Institut Penyelidikan Bateri Nasional dan Pusat Unggulan Teknologi Transportasi Berkelanjutan Indonesia serta Persatuan Kenderaan Elektrik Filipina.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan