EKONOMI > BERITA

Keuntungan Bersih RHB Susut Kepada RM722.31 Juta Pada Suku Kedua

27/08/2024 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih RHB Bank Bhd susut kepada RM722.31 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 daripada RM808.70 juta dicatatkan pada suku kedua 2023.

Dalam pada itu, hasil bagi suku dalam tinjauan meningkat kepada RM4.42 bilion berbanding RM4.05 bilion setahun lalu.

Untuk separuh pertama tahun, keuntungan bersih bank itu merosot kepada RM1.45 bilion berbanding RM1.57 bilion sebelumnya.

Sementara itu, pendapatannya meningkat kepada RM8.82 bilion daripada RM7.97 bilion dicatatkan pada separuh pertama 2023.

“Penurunan pendapatan tahun ke tahun RHB kebanyakannya disebabkan oleh elaun lebih tinggi untuk kerugian kredit, perbelanjaan operasi lebih tinggi dan bahagian kerugian lebih tinggi dalam syarikat bersekutu.

“Bagaimanapun, ia telah diimbangi oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi, pendapatan pendanaan bersih lebih tinggi dan perbelanjaan cukai lebih rendah,” kata kumpulan perbankan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Mohd Rashid Mohamad berkata prestasi kewangan bank itu pada separuh pertama 2024 menggariskan kekuatan dan keberkesanan strategi korporat bank itu - “Together We Progress 2024”. 

“Dengan memanfaatkan kekuatan teras kami dan menekankan pertumbuhan perniagaan berkualiti termasuk perkhidmatan kewangan mampan, kami bukan sahaja telah mencapai jumlah pertumbuhan pendapatan yang ketara tetapi juga berjaya menghasilkan nilai kepada pemegang saham kami,” katanya.

Beliau berkata pada separuh pertama 2024, kumpulan itu terus membina asas kukuhnya dengan pertumbuhan yang mampan dalam jumlah pendapatan dan keuntungan operasi.

“Bagi mengiktiraf sokongan, kesetiaan dan kepercayaan pemegang saham kami yang tidak berbelah bahagi, RHB berbesar hati untuk mengisytiharkan dividen interim sebanyak 15 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 45 peratus,” katanya.

Jumlah aset kumpulan meningkat sebanyak 1.0 peratus dari Disember 2023 kepada RM331.9 bilion pada 30 Jun 2024.

Aset bersih sesaham berada pada RM7.27 dengan ekuiti pemegang saham pada RM31.7 bilion pada 30 Jun 2024.

Pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan itu naik 6.4 peratus tahun ke tahun kepada RM227.9 bilion kebanyakannya didorong oleh pertumbuhan dalam gadai janji, operasi RHB di Singapura, komersial, kewangan kereta serta segmen perusahaan kecil dan sederhana.

“Deposit pelanggan meningkat 4.8 peratus kepada RM240.3 bilion dengan komposisi akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) sebanyak 28.1 peratus pada 30 Jun 2024 manakala nisbah perlindungan kecairan kekal kukuh pada 139.6 peratus,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan