EKONOMI > BERITA

Sime Darby Jangka Sektor Automotif Pulih, Penyasaran Subsidi Bahan Api Beri Kesan Minimum

27/08/2024 08:26 PM

PETALING JAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Sime Darby Bhd menjangkakan sektor automotif akan mengalami pemulihan berterusan dengan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar hanya memberi kesan yang minimum.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Muhammad Noor Abd Aziz berkata walaupun terdapat beberapa reaksi pasaran berhubung isu itu, kumpulan bagaimanapun mahu menggunakan pendekatan tunggu dan lihat.

Beliau berkata permintaan terutamanya untuk kereta mewah, berkemungkinan akan terus pulih.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson mengakui mungkin wujudnya kesan jika rasionalisasi subsidi untuk RON95 diperkenalkan, tetapi jualan automotif akhirnya akan kembali seimbang seperti biasa.

“Kita tidak menjangkakan ia (kesan rasionalisasi subsidi) berpanjangan. Apabila subsidi bahan api (dilaksanakan), pada pandangan saya akan ada kesannya.

"Kemudian, keseimbangan akan berlaku. Jadi, saya fikir kesannya mungkin lebih singkat," katanya kepada pemberita pada taklimat media mengenai prestasi Sime Darby bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024.

Mengenai kadar penerimaan kenderaan elektrik (EV), Jeffri berkata Malaysia menunjukkan kadar penerimaan yang mengagumkan berbanding dengan rakan serantau.

Beliau berkata Singapura telah mengalami perubahan pesat dalam penerimaan EV dan Hong Kong sedang berkembang pada kadar yang lebih perlahan, Malaysia pula telah mencapai kadar penerimaan yang ketara sebanyak 25 peratus dalam portfolionya.

"Penerimaan yang kukuh ini disokong oleh pelbagai model EV yang tersedia di pasaran Malaysia, termasuk tawaran daripada UMW Motors, Perodua dan Toyota," katanya.

Apabila ditanya mengenai sasaran masa depan untuk meningkatkan jualan EV, Jeffri berkata pihaknya menekankan pendekatan yang berpaksikan pelanggan.

"Kami akan menjual apa sahaja yang pelanggan kami mahu. Jadi, jika anda mahu EV, kami akan menawarkan model EV," katanya.

Jeffri berkata Sime Darby juga sedang menilai semula strategi berikutan operasinya di China yang menjejaskan keuntungan dengan ketara.

Beliau berkata syarikat itu telah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap operasinya di China, yang merangkumi jenama seperti BMW, Volvo, Smart dan Kia.

Bagi menangani masalah tersebut, Sime Darby juga merancang untuk menutup beberapa cawangan yang gagal menunjukkan prestasi baik.

"Kami telah menyediakan peruntukan untuk penutupan ini, dengan menjangkakan kos yang berkaitan dalam jangka masa pendek," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan