KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 805,000 unit untuk industri automotif pada 2025, meningkat daripada anggaran 800,000 unit pada 2024.
Menurut bank pelaburan itu, unjuran lebih tinggi tersebut disokong oleh bahagian pasaran yang lebih besar merangkumi segmen mampu milik seperti jumlah tempahan tertunggak kenderaan Perodua yang kekal melebihi 90,000 unit.
Ia disokong oleh penyerahan bulanan yang stabil dan pelancaran model baharu lebih menarik menggantikan kenderaan generasi lama.
Selain itu, katanya trend beralih daripada jenama mahal kepada lebih mampu milik oleh pembeli pasaran pertengahan berikutan rasionalisasi subsidi minyak ke arah kenderaan jimat minyak, termasuk hibrid, kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) dan kenderaan jimat tenaga serta peningkatan bahagian pasaran kenderaan pengeluar automotif China melalui program penyetempatan pengeluaran akan turut membantu memacu sektor automotif.
“Kami juga menjangkakan semakan pertengahan penggal Dasar Automotif Nasional (NAP) untuk memasukkan kenderaan hibrid sebagai langkah peralihan utama ke arah mencapai sasaran nasional bagi kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan hibrid sebanyak 15.0 peratus daripada TIV menjelang 2030 dan 38 peratus pada 2040,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam pada itu, bank pelaburan itu turut menjangkakan Hong Leong Industries Bhd akan menerima manfaat daripada peningkatan permintaan dalam pasaran motosikal untuk mencapai sasaran 680,000 unit pada 2025, dengan Yamaha menguasai bahagian terbesar dalam pasaran sebanyak 50 peratus.
Katanya pelanggan sasarannya seperti kumpulan B40 dan M40 dijangka tidak terjejas oleh rasionalisasi subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan.
Menurut Kenanga IB, jualan kenderaan juga akan disokong oleh BEV baharu yang menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan kemudahan insentif EV yang lain sehingga 2025 bagi kenderaan jenis model import penuh (CBU) dan 2027 bagi unit kereta pemasangan tempatan (CKD).
“Kami menjangka lebih banyak insentif menggalakkan daripada kerajaan yang telah menetapkan sasaran nasional bagi EV dan kenderaan hibrid sebanyak 15.0 peratus daripada TIV menjelang 2030 dan 38 peratus pada 2040.
“Sementara itu, kerajaan akan mempercepatkan kelulusan bagi stesen pengecasan. Jumlah stesen pengecasan yang dicadangkan ketika ini ialah 4,235 (3,354 sudah dibina) dan ia dijangka meningkat kepada 10,000 menjelang akhir 2025,” katanya.
Selain faktor mampu milik, Kenanga IB berkata model Perodua dan Proton berjaya mengatasi jualan jenama bukan nasional berikutan ia telah mencapai tahap yang setanding dari segi spesifikasi dan ciri-ciri seperti meter laju digital, enjin jimat bahan api, kotak gear yang sangat responsif, sistem bantuan pemandu lanjutan, jumlah beg udara (empat hingga enam) dan sistem kunci automatik anti kecurian.
MBM Resources dan Hong Leong Industries antara kaunter paling untung di Bursa Malaysia hari ini.
Pada 12.30 tengah hari, MBM Resources meningkat enam sen atau 1.0 peratus kepada RM6.06 dan Hong Leong Industries naik 12 sen atau 0.71 peratus kepada RM14.28.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial