EKONOMI > BERITA

IPO Steel Hawk Terlebih Langgan 276.83 Kali

27/08/2024 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Steel Hawk Bhd telah mencatatkan kadar terlebih langgan sebanyak 276.83 kali bagi saham tawaran awam permulaan (IPO) yang ditawarkan kepada orang ramai Malaysia sempena pemindahan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE menjelang 5 Sept depan.

Pembekal perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (O&G) itu berkata 34,838 permohonan membabitkan 6.81 bilion saham bernilai RM1.02 bilion telah diterima bagi 24.5 juta saham baharu yang ditawarkan pada 15 sen sesaham.

“Kadar terlebih langganan sebanyak 276.83 kali kami berada pada kedudukan langganan tertinggi berbanding semua IPO dalam tempoh 10 tahun lepas berdasarkan maklumat yang dipetik daripada laman web Bursa Securities,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk bahagian bumiputera, 16,582 permohonan bagi 3.02 bilion saham telah dikemukakan, menyebabkan kadar terlebih langgan sebanyak 245.25 kali, manakala 18,256 permohonan bagi 3.79 bilion saham telah dimohon untuk bahagian awam, merekodkan kadar terlebih langgan 308.40 kali. 

Sejumlah 12.25 juta saham yang tersedia untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat turut dilanggan sepenuhnya.

Sementara itu, 53.25 juta saham baharu dan 44.70 juta saham sedia ada disediakan untuk permohonan dengan cara penempatan persendirian kepada pelabur terpilih juga telah dilanggan habis, katanya. 

Steel Hawk menyediakan perkhidmatan sokongan dalam serta luar pesisir untuk industri O&G dengan keupayaan teras dalam perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) termasuk penyelenggaraan fasiliti pelantar O&G, pemasangan selain penyelenggaraan peralatan dan pembekalan medan minyak.

Selepas pemindahan penyenaraian, Steel Hawk akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM73.50 juta berdasarkan harga terbitan 15 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 490 juta saham. 

Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Datuk Sharman K. Michael berkata hasil IPO tersebut akan memacu pelan pertumbuhan serta pengembangan kumpulan dalam industri O&G.

“Sokongan pasaran yang kukuh ini mengesahkan keupayaan serta hala tuju strategik Steel Hawk. Kumpulan itu akan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang dalam segmen perkhidmatan dan peralatan O&G, didorong oleh permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian yang lebih cekap dan mampan.

“Sebahagian daripada hasil akan digunakan untuk mengembangkan kapasiti fabrikasi kami dengan membina Fasiliti 2 Teluk Kalung (di Terengganu). Pengembangan ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kami dengan ketara selain mengurangkan kos dengan meminimumkan pergantungan kami kepada subkontraktor pihak ketiga,' katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan