KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Operator rangkaian kafe perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) Oriental Kopi Holdings Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia berhasrat untuk mengumpulkan RM184 juta melalui tawaran awam permulaannya (IPO).
Harga saham IPO syarikat itu ditetapkan pada 44 sen setiap satu dan penyenaraian dijadualkan menjelang 23 Jan 2025.
Kumpulan itu berkata sebanyak RM75.78 juta atau 41.2 peratus daripada hasil akan dipakai bagi modal kerja; RM53.69 juta (29.2 peratus) untuk penubuhan ibu pejabat baharu, dapur pusat serta gudang di Selangor; RM36.40 juta (19.8 peratus) untuk pengembangan rangkaian kafe di Malaysia; RM5.5 juta (3.0 peratus) bagi tujuan aktiviti pemasaran di luar negara; RM5 juta (2.7 peratus) ke arah pengembangan segmen makanan berbungkus dan RM7.6 juta (4.1 peratus) untuk perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Eksekutif Sean Koay Song Leng berkata kemudahan operasi baharu berkeluasan 108,448 kaki persegi di Puchong, Selangor akan memusatkan fungsi pengurusannya, mengoptimumkan operasi F&B selain meningkatkan kecekapan penyimpanan dan pengedaran.
“Pembangunan dapur berpusat ini dirancang untuk meminimumkan operasi dapur di cawangan semasa memandangkan sesetengah kedai mempunyai dapur yang sangat kecil.
“Jadi kami mahu mengurangkan beban kerja di dapur itu sendiri melalui pengalihan ke dapur pusat bagi menghasilkan makanan, tidak lagi di dapur (cawangan) tetapi persiapan terakhir kami masih dilakukan di dapur cawangan itu sendiri,” katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus Oriental Kopi di sini hari ini.
Koay, bagaimanapun, tidak mendedahkan peratusan beban kerja yang diminimumkan di dapur cawangan selepas pembangunan dapur berpusat.
Sejak ditubuhkan pada Disember 2020, Oriental Kopi telah mengasaskan rangkaian 19 kafe yang dimiliki dan dikendalikan di Malaysia termasuk secara pemilikan bersama serta kafe yang dikendalikan di Singapura.
Kafe-kafe ini terletak secara strategik dalam pelbagai persekitaran seperti pusat membeli-belah, lot kedai dan pusat membeli-belah di KL International Airport 2 termasuk sebuah stor runcit khusus di St Giles. Southkey Hotel, Johor Bahru.
Mengulas mengenai pengembangan rangkaian kafe, Koay berkata syarikat itu menyasarkan untuk membuka 13 cawangan lagi di Malaysia pada tahun ini.
Kumpulan itu bercadang membuka dua lagi kafe di Singapura menjelang 2025.
“Kami juga merancang membuat pengembangan perniagaan ke negara jiran,” katanya lagi.
Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan berjumlah 2 bilion saham biasa, Oriental Kopi dijangka mempunyai permodalan pasaran indikatif sebanyak RM880 juta.
Menurut Oriental Kopi, IPO tersebut akan menawarkan 418.1 juta saham biasa, 60 juta saham akan tersedia kepada awam Malaysia melalui pengundian; 20 juta saham kepada pengarahnya yang layak, pekerja serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan; manakala 88.1 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
“Baki 250 juta saham IPO akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya dalam satu kenyataan.
Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup menjelang 5 petang, 10 Jan ini.
Alliance Istamic Bank Bhd menjadi penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO syarikat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial