EKONOMI > BERITA

Keuntungan Bersih Suku Kedua Leong Hup Meningkat Kepada RM96.49 Juta

27/08/2024 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Leong Hup International Bhd meraih keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024, kepada RM96.49 juta daripada RM65.03 juta pada tahun lepas.

Jumlah perolehan kumpulan pengeluar bersepadu ayam, telur dan makanan ternakan bagi tempoh di bawah kajian bagaimanapun susut kepada RM2.35 bilion daripada RM2.41 bilion sebelumnya, disebabkan terutamanya oleh purata harga jualan dan jumlah jualan lebih rendah di Vietnam dan Malaysia selain penurunan jumlah jualan di Indonesia.

Bagi tempoh terkumpul selama enam bulan, keuntungan bersih Leong Hup meningkat hampir dua kali kepada RM153.07 juta daripada RM87.17 juta manakala perolehan menokok kepada RM4.76 bilion daripada RM4.61 bilion sebelum ini, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Perolehan hasil kumpulan daripada jualan ternakan dan produk berkaitan ayam meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada RM1.37 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2024 daripada RM1.32 bilion bagi tempoh sama, sebelumnya.

Angka perolehan lebih tinggi itu disebabkan terutamanya oleh peningkatan ketara purata harga jualan dan jumlah jualan anak ayam berumur sehari serta ayam pedaging di Indonesia.

“Jumlah perolehan lebih tinggi itu turut disumbangkan oleh harga jualan purata dan jumlah jualan anak ayam berusia sehari yang meningkat di Filipina.

“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak 71.3 peratus, dipacu terutamanya oleh peningkatan margin di Indonesia dan Filipina,” katanya.

Selain itu, Leong Hup berkata perolehan daripada segmen kilang makanan ternakan turun sebanyak 9.5 peratus kepada RM984.2 juta pada suku di bawah kajian daripada RM1.08 bilion bagi tempoh sama pada 2023.

“Bagaimanapun, EBITDA meningkat 6.6 peratus apabila kumpulan meraih manfaat daripada pengembangan margin di semua negara, terutama berikutan kos bahan mentah yang lebih rendah,” katanya.

Mengulas prospek, Leong Hup berkata dari segi segmen geografi, prestasi kewangan di Malaysia dan Singapura kembali normal daripada prestasi memberangsangkan pada tahun sebelumnya manakala Indonesia, Vietnam dan Filipina terus mengukuh.

"Tanpa mengambil kira keadaan di luar jangka, kumpulan menyasarkan untuk mencatat prestasi lebih memuaskan bagi tahun kewangan 2024,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan