EKONOMI > BERITA

Harga Eksport Malaysia Jatuh 0.6 Peratus Pada Julai 2024 - Jabatan Perangkaan

28/08/2024 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Harga eksport Malaysia pada Julai 2024 merosot 0.6 peratus daripada 151.2 mata pada bulan sebelumnya kepada 150.2 mata, manakala harga import meningkat 0.3 peratus kepada 130.4 mata.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri bagi Julai 2024, kejatuhan itu disumbangkan oleh penurunan dalam indeks minyak galian, minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran dan pelbagai barang keluaran kilang.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks jumlah eksport naik 4.7 peratus selaras dengan kenaikan indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran, bahan kimia dan pelbagai barang keluaran kilang.

"Indeks nilai seunit import menokok 0.3 peratus pada Julai 2024, disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian dan makanan.

"Indeks jumlah import turut naik 11.3 peratus pada Julai 2024 berbanding Jun 2024, disebabkan kenaikan dalam indeks makanan, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan serta barang-barang keluaran kilang," katanya.

Pada masa yang sama, terma perdagangan Malaysia merosot 0.9 peratus bulan ke bulan kepada 115.2 mata pada Julai 2024, didorong oleh kejatuhan indeks minyak galian, minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran dan pelbagai barang keluaran kilang. 

Bagaimanapun, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun meningkat 3.8 peratus daripada 111.0 mata pada Julai tahun lalu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan