EKONOMI > BERITA

Axiata Kembali Pulih Raih Keuntungan Bersih RM134.90 Juta Pada Suku Kedua 2024

28/08/2024 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Axiata Bhd kembali meraih keuntungan dengan mencatatkan untung bersih sebanyak RM134.90 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2024, daripada kerugian bersih  RM576.22 juta pada suku yang sama 2023.

Perolehan meningkat kepada RM5.76 bilion daripada RM5.59 bilion sebelumnya, disumbangkan terutamanya daripada syarikat pengendalinya kecuali operasi mudah alih di Sri Lanka dan operasi jalur lebar tetap di Indonesia, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Bagi tempoh separuh pertama 2024, kumpulan itu mencatatkan prestasi kukuh meraih keuntungan bersih sebanyak RM194.93 juta daripada kerugian bersih RM502.36 juta pada tahun lepas, manakala perolehan meningkat kepada RM11.42 bilion daripada RM10.59 bilion.

Dalam satu kenyataan berasingan, Axiata berkata pertumbuhan perolehan setakat ini bagi tahun ini berjumlah 7.8 peratus, disumbang oleh prestasi kukuh daripada semua syarikat pengendali kecuali PT Link Net Tbk dan Dialog Axiata PLC.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 18.7 peratus dan 42.9 peratus, disumbangkan terutamanya daripada PT XL Axiata Tbk, Smart Axiata Company Ltd, Robi Axiata Ltd dan EDOTCO Group Sdn Bhd.

"Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat lebih 100 peratus, diterima daripada EBIT, sumbangan tinggi daripada syarikat bersekutu dan kerugian pertukaran asing yang lebih rendah, namun diimbangi oleh kos kewangan bersih dan cukai yang lebih tinggi," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Axiata, Vivek Sood berkata walaupun ketidaktentuan sosiopolitik dan makroekonomi, kumpulan itu kekal fokus untuk memacu pertumbuhan dan meningkatkan margin.

“Kami telah menyelesaikan penggabungan Dialog-Airtel di Sri Lanka dan memulakan perbincangan cadangan penggabungan antara XL Axiata dan Smartfren di Indonesia.

"Langkah ini selaras dengan strategi penyatuan pasaran kami ke arah tiga pengendali syarikat telekomunikasi utama dalam setiap pasaran kami, yang sama ada Axiata meneraju atau menguasai bahagian pasaran yang besar," katanya.

Vivek berkata walaupun berdepan cabaran persaingan sengit di Indonesia dan ketidakpastian ekoran perkembangan tidak menentu di Bangladesh, kumpulan itu menjangka pertumbuhan pendapatannya dapat memenuhi sasaran setahun penuh manakala pertumbuhan EBIT dijangka mendahului petunjuk prestasi utama. 

“Pada masa depan, kami terus menumpu untuk mempercepat pertumbuhan sambil melaksanakan strategi penciptaan nilai Axiata,” katanya.

Berikutan prestasi yang baik itu, Axiata mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak lima sen sesaham biasa, dengan butiran kelayakan dan pembayaran akan diumumkan tidak lama lagi.

Pada rehat tengah hari, harga saham Axiata meningkat satu sen kepada RM2.45 sesaham dengan 3.04 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan