KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- U Mobile Sdn Bhd dijangka melaksanakan kerjasama rangkaian untuk membiayai perbelanjaan modal (capex) 5G yang dianggarkan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion berikutan terpilih sebagai penyedia akses rangkaian 5G kedua, menurut RHB Investment Bank Bhd.
Dalam nota penyelidikan hari ini katanya perkongsian infrastruktur rangkaian itu akan mempercepat penempatan tapak, membolehkan sasaran liputan penduduk tercapai dengan lebih pantas.
“Walaupun U Mobile belum mengumumkan pelan pelancarannya, kami menerima maklumat daripada sumber industri bahawa ia berpotensi untuk membangunkan 5,000-7,000 tapak 5G di seluruh negara melalui naik taraf tapak 4G sedia ada dan pembinaan baharu,” katanya.
Berikutan pemilihan itu, pelabur utama dan pemegang saham utama U Mobile, Singapore Technologies Telemedia, yang berkaitan dengan Temasek, telah menjual pegangan sahamnya kepada entiti tempatan yang diuruskan oleh Tan Sri Vincent Tan, pemegang saham utama U Mobile yang lain.
Pada Julai 2024, U Mobile memeterai memorandum persefahaman dengan empat penyedia infrastruktur rangkaian -- Bullish Aim, OCK Group, Edgepoint Towers dan Naza Communications -- untuk memudahkan pemasangan tapak.
“Kami yakin gabungan pembiayaan vendor, pilihan pembayaran tertunda dan pembiayaan hutang sedang dinilai untuk membiayai pengembangan rangkaian,” katanya.
Bagi 2025, bank pelaburan itu menjangkakan pertumbuhan hasil perkhidmatan mudah alih nominal berikutan kecenderungan penggunaan/perbelanjaan mungkin terjejas disebabkan kesan sekunder daripada pengurangan subsidi selanjutnya.
Selain cabaran untuk menjana keuntungan daripada 5G, purata hasil mudah alih bagi setiap pengguna mungkin terus mengalami tekanan, katanya.
“Kami melihat persaingan yang berterusan dalam segmen jalur lebar tetap (FBB) memandangkan pengendali rangkaian mudah alih terus menawarkan pakej FBB-mudah alih untuk mendorong pengekalan pelanggan,” katanya.
Sementara itu, katanya permintaan yang semakin meningkat untuk pusat data (DC) dijangka terus memberi manfaat kepada syarikat telekomunikasi (telco) berintegrasi tetap.
“Kami mengambil maklum stesen pendaratan kabel baharu Telekom Malaysia Bhd (TM) di Morib yang telah siap, membolehkannya memenuhi keperluan kesalinghubungan DC yang semakin banyak di selatan Lembah Klang,” katanya.
RHB Investment Bank berkata pemilikan TM terhadap aset infrastruktur digital teras menjadikannya pemain kesalinghubungan yang amat diperlukan.
“Kami mengunjurkan tahun kewangan 2024-2026 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun pendapatan sebanyak 11.7 peratus mendorong pulangan bagi pengembangan modal yang dilaburkan.
“Kami turut memilih Axiata Group Bhd berikutan pemulihan pendapatan dan langkah mengurangkan hutang dalam lembaran imbangan, disokong cabaran ekonomi makro dan penambahbaikan operasi yang berterusan,” katanya.
Sementara itu, bank pelaburan itu menjangka CelcomDigi Bhd sebagai peluang untuk pelaburan.
Menurutnya sinergi penggabungan yang lebih kukuh pada tahun kewangan 2025-2026 dijangka mendorong penilaian semula saham.
Menurut RHB Investment Bank, telco Malaysia menyaksikan pulangan harga saham sebanyak lima peratus pada 2024 (2023: +0.3 peratus), dengan TM mengatasi (+25 peratus) pengendali rangkaian mudah alih (-5 hingga -9 peratus).
Telco, tidak termasuk TM mencatat pulangan yang lebih rendah sebanyak dua peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial