EKONOMI > BERITA

Media Prima Catat Untung Bersih Lebih Tinggi RM33.21 Juta Pada Suku Keempat

28/08/2024 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Media Prima Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM33.21 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun, 202 berbanding RM2.47 juta bagi suku sebelumnya berakhir 31 Mac, 2024, disebabkan inisiatif pengurusan kos berhemat. 

Bagaimanapun, hasil pada suku tersebut turun sembilan peratus kepada RM193.10 juta berbanding RM213.22 juta pada suku ketiga.

Penurunan itu disebabkan sentimen pengguna terhadap jenama global besar tertentu dan ketegangan geopolitik berterusan yang memberi kesan kepada perbelanjaan iklan, kata kumpulan media bersepadu itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Media Prima mengumumkan pada 25 Ogos 2022 bahawa tahun kewangan berakhir kumpulan itu ditukar daripada 31 Disember kepada 30 Jun.

“Walaupun tiada maklumat kewangan perbandingan yang dibentangkan untuk suku berakhir 30 Jun 2024, analisis adalah mengikut perbandingan suku sebelumnya yang berakhir pada 31 Mac 2024,” katanya.

Sementara itu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM60.47 juta untuk tahun kewangan 2024 dan merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM30.51 juta untuk tahun kewangan semasa, disokong oleh kecekapan operasi yang lebih baik dan inisiatif pengurusan kos.

Syarikat itu turut mencatatkan hasil sebanyak RM844.01 juta untuk tahun kewangan 2024 walaupun hasil pengiklanan dan perdagangan terus terjejas oleh keadaan pasaran yang mencabar.

Media Prima menjangkakan prospek tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 kekal mencabar berikutan pasaran pengiklanan kekal terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.

“Kumpulan akan terus menumpukan untuk mengekalkan prestasinya merentas semua platform dan mengoptimumkan kecekapan operasi bagi menyokong rancangan perniagaan tiga tahun kami berpandukan tiga tonggak pertumbuhan: rangsangan kualiti kandungan, premium inventori dan penerokaan aliran hasil baharu.

“Pelan hala tuju strategik itu menekankan komitmen kami untuk terus memberikan nilai kepada pemegang saham, mengukuhkan operasi perniagaan dan memanfaatkan kekuatan kami sebagai kumpulan media bersepadu,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi kumpulan Media Prima Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata kumpulan itu telah menunjukkan daya tahan di tengah-tengah landskap kelembapan ekonomi, ketegangan geopolitik dan gangguan digital yang berterusan.

“Walaupun tahun kewangan berhadapan dengan cabaran dan peluang, tumpuan strategik kami adalah pada bidang pertumbuhan tinggi dan pengoptimuman kos membolehkan kumpulan mencatatkan satu lagi tahun keputusan yang positif.

“Meskipun kami menjangkakan cabaran berterusan pada tahun kewangan akan datang, kami tetap komited untuk memberikan nilai kepada pemegang saham dan penonton kami,” katanya.

Kumpulan itu telah mengisytiharkan dividen satu peringkat pertama dan terakhir sebanyak 1.5 sen setiap saham biasa untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan