EKONOMI > BERITA

Pemain Insurans Digesa Bangun Penyelesaian Sesuai Keperluan Pengguna Tempatan - BNM

28/08/2024 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 28  Ogos (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) menggesa peserta insurans di negara ini untuk terus membangunkan penyelesaian insurans tempatan yang disesuaikan khusus bagi memenuhi keperluan pengguna Malaysia.

Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata syarikat insurans perlu menaja jamin polisi yang bukan sahaja memenuhi permintaan tempatan tetapi juga dapat menangani risiko dalam persekitaran domestik, pendekatan yang boleh mengurangkan keperluan untuk mendapatkan produk insurans dari luar negara.

“Ini akan dapat membantu menyokong ringgit dengan mengurangkan permintaan terhadap mata wang asing. Selain itu, industri harus mengutamakan pelaburan dalam aset tempatan dalam portfolio mereka untuk turut menyokong pelaburan domestik.

“Melalui usaha ini kita boleh bersama-sama mengukuhkan lagi daya tahan ringgit dan memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya dalam ucap tama beliau pada pelancaran LIAM Starter Pack Insurance Fund, di sini, hari ini.

Memandangkan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dijangka berkembang seiring dengan evolusi industri, Adnan Zaylani melahirkan keyakinan persatuan itu akan terus dapat menyesuaikan dengan keadaan dan berinovasi untuk kekal relevan.

Pada masa sama, beliau menggesa industri untuk meneruskan usaha mengecilkan jurang perlindungan negara.

Beliau berkata LIAM memainkan peranan penting memacu kesedaran dan inisiatif pendidikan kewangan mengenai insurans hayat untuk menggalakkan daya tahan kewangan yang lebih baik kepada individu dan isi rumah menerusi pelbagai inisiatif.

Antara inisiatif tersebut termasuk penubuhan laman sesawang MyCoverage, kempen kesedaran #bukanextra dan #nofomo LIAM dan usaha kerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit Kebangsaan (AKPK) atas inisiatif Jelajah Bijak Wang.

“Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa industri insurans hayat terus menunjukkan pertumbuhan yang membanggakan. Pada 2023 industri mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi premium perniagaan baharunya iaitu sebanyak 11.6 peratus berjumlah RM13.4 bilion berbanding RM12.0 bilion pada 2022,” katanya.

Adnan Zaylani berkata prestasi ini sebahagian besarnya didorong oleh pembelian kukuh produk kumpulan dan pautan pelaburan.

“Ini turut menunjukkan penerimaan produk insurans hayat bukan sahaja sebagai perlindungan, malah untuk tujuan perlindungan perubatan dan pelaburan.

“Kadar penembusan insurans hayat Malaysia, seperti yang diukur berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) secara relatifnya tinggi iaitu pada 3.7 peratus berbanding 2.1 peratus bagi negara Asia sedang pesat membangun dan purata global 2.8 peratus,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata dalam keadaan ketidaktentuan global semasa, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, dengan KDNK diunjurkan berkembang pada julat melebihi 4.0-5.0 peratus pada 2024.

Beliau berkata peningkatan ketara ringgit berbanding dolar AS, menjadikannya antara mata wang berprestasi terbaik di rantau ini, seterusnya menyokong kekuatan ekonomi Malaysia.

“Memandangkan trajektori positif ini dijangka berterusan, momentum ini perlu terus dibina dengan meningkatkan pembaharuan struktur yang akan menambah daya tahan, daya saing dan prospek pertumbuhan jangka panjang kami.

“Perkembangan ini meletakkan industri di kedudukan mampu mengekalkan momentum pertumbuhan, berikutan prospek pertumbuhan ekonomi yang baik, persekitaran inflasi stabil dan usaha berterusan untuk meningkatkan tahap pendapatan rakyat Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, Adnan Zaylani berkata, masih terdapat jurang perlindungan yang ketara di Malaysia, terutamanya dalam kalangan golongan rentan.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kadar penembusan insurans yang tinggi, seperti yang diukur berbanding KDNK, namun berkembang antara 40 peratus dan 50 peratus apabila diukur berbanding jumlah penduduk.

Di samping itu, ramai rakyat Malaysia masih disifatkan kurang tahap perlindungan daripada perkara yang mengejutkan dalam kehidupan, penyakit serius dan kematian.

“Kesan daripada gangguan yang tidak dijangka akibat pandemik dan bencana berkaitan iklim juga telah meningkatkan keperluan untuk perlindungan kewangan, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah yang lebih terdedah kepada kejutan luaran,” katanya.

Adnan Zaylani berkata perkembangan ini, di samping peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia pada masa ini iaitu 74.8 tahun, dan trajektori bahawa Malaysia akan menjadi negara menua menjelang 2044, menekankan lagi potensi yang belum diteroka dalam industri insurans Malaysia untuk merapatkan jurang perlindungan.

"Kami mendapati untuk menggalakkan pengambilan perlindungan insurans bukanlah mudah. Pelbagai faktor perlu diambil kira dari segi permintaan dan penawaran, yang kebiasaannya saling berkaitan," katanya.

Bagi mengatasi cabaran yang saling berkait ini, Adnan Zaylani berkata pelbagai pendekatan perlu digunakan dengan menumpu kepada mempertingkat pendidikan kewangan, memudahkan penawaran produk dan membina kepercayaan yang berterusan.

“Pengendali insurans dan takaful juga harus mengamalkan amalan pengurusan kos yang lebih baik dan memanfaatkan teknologi untuk penyelesaian yang lebih inovatif,” katanya.

Adnan Zaylani berkata usaha bersepadu oleh semua pihak berkepentingan dalam sistem adalah kunci untuk meningkatkan kebolehcapaian dan pemahaman pengguna tentang insurans, serta menggalakkan kemampanan jangka panjang industri.

“Dalam konteks ini, kami menyeru industri insurans untuk melaksanakan lebih banyak pemilikan bagi mengatasi cabaran ini. Sebagai permulaan, kami melihat peluang dalam penyediaan produk peringkat permulaan yang mampu milik untuk membina pemahaman dan kesetiaan produk jangka panjang.

“Kami juga menggalakkan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) untuk membina asas menerusi produk yang telah ditawarkan. Sebagai contoh, Program Baucar Perlindungan Tenang, yang berakhir pada 2022, telah berjaya meningkatkan kesedaran tentang produk tersebut,” katanya.

Beliau berkata BNM juga akan menggalakkan pengendali takaful untuk meneroka inovasi dalam bidang baharu seperti penyelesaian kesihatan pencegahan dan produk gantian pendapatan.

Mereka digalakkan meneroka segmen sasaran yang baharu muncul seperti pekerja gig, ini kerana terdapat peluang untuk menawarkan perlindungan yang berpatutan untuk kumpulan ini. 

Dengan berbuat demikian, Adnan Zaylani berkata, pengendali takaful boleh memanfaatkan fleksibiliti di bawah rangka kerja insurans mikro dan takaful mikro Perlindungan Tenang, yang membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada segmen sasaran.

“Inovasi seperti keupayaan untuk menggabungkan produk Perlindungan Tenang dengan produk kewangan lain, bekerjasama dengan ejen bukan tradisional seperti penyedia e-dompet untuk mengedarkan produk dan penyediaan perkhidmatan nilai tambah adalah antara fleksibiliti kawal selia di bawah rangka kerja itu.

“Pandangan daripada tinjauan permintaan bersama BNM-industri 2022 juga harus digunakan sepenuhnya untuk mengenal pasti keperluan perlindungan dengan lebih baik lagi dan memahami segmen sasaran, bagi menambah baik pembangunan produk dan strategi pengedaran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan