EKONOMI > BERITA

Labuan FSA Nafi Terlibat Dengan I-Asset Trust

28/08/2024 06:57 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 28 Ogos (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) menafikan sebarang penglibatan dengan MPV Capitals Ltd, IDC Capital Sdn Bhd dan Eramas Trustee Bhd dalam pelancaran produk kewangan I-Asset Trust.

Ketua Pengarah Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa ketika menjawab laporan media baru-baru ini berkata ia tidak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan ketiga-tiga syarikat itu, selain tidak terlibat dalam I-Asset Trust.

“Labuan FSA memandang serius perkara ini dan sedang giat menjalankan siasatan menyeluruh, ” Nik Mohamed berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama.

Ia juga “bersedia untuk mengambil langkah tegas dan tindakan undang-undang, jika perlu, bagi menjaga reputasi dan kepentingannya,” kata kenyataan itu.

Dilaporkan pada awal minggu ini, MPV Capitals, IDC Capital, Eramas Trustee dan Labuan FSA bekerjasama untuk menyampaikan produk kewangan I-Asset Trust dengan sasaran pelaburan RM100 juta menjelang akhir tahun ini.

Nik Mohamed menekankan bahawa penggunaan nama serta logo Labuan FSA tanpa kebenaran merupakan pelanggaran di bawah Akta Cap Dagangan Malaysia 2019.

“Sebagai pihak berkuasa kawal selia, Labuan FSA hanya memeterai MoU dengan pengawal selia rakan setara. Ia tidak memeterai MoU dengan entiti di bawah peraturannya untuk mengekalkan kebebasan dan kesaksamaannya, dengan itu mengelakkan sebarang konflik kepentingan,” kata kenyataan itu. 

Nik Mohamed Din mengingatkan orang ramai supaya merujuk kepada komunikasi rasmi daripada laman web Labuan FSA.

Labuan FSA telah ditubuhkan sebagai sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan. Ia merupakan pihak berkuasa kawal selia, penyeliaan dan penguatkuasaan pusat untuk industri perniagaan serta perkhidmatan kewangan antarabangsa di Labuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan