EKONOMI > BERITA

Penambahbaikan Peraturan Dapat Perkukuh Kedudukan Malaysia Dalam Penilaian FATF

19/12/2024 05:25 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 19 Dis (Bernama) -- Empat rang undang-undang (RUU) yang diluluskan di Dewan Negara bagi mengawal selia aktiviti perniagaan di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) semalam, dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia menjelang penilaian Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) keempat pada Februari 2025.

Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Nik Mohamed Din Nik Musa berkata RUU di bawah Kementerian Kewangan itu dapat memacu keyakinan antarabangsa selain meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab kewangan yang diyakini serta diiktiraf di peringkat global.

“Langkah melaksanakan pindaan itu menjelang penilaian berkenaan akan meletakkan Malaysia serta Labuan IBFC mendapat penarafan penilaian yang menggalakkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Kesemua RUU itu yang dibentangkan bagi bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan di Dewan Negara, termasuk RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No 2) 2024 dan RUU Syarikat Labuan (Pindaan) 2024, RUU Amanah Labuan (Pindaan) 2024, RUU Undang-Undang Yayasan Labuan (Pindaan) 2024 serta RUU Perkongsian Terhad dan Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan (Pindaan) 2024.

Ia antara lainnya bertujuan meningkatkan aspek ketelusan serta melaras peraturan dengan piawaian antarabangsa berkaitan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT), khususnya mengenai pemilikan benefisial (BO).

Pindaan itu juga, kata Nik Mohamed Din, turut memperkenalkan peruntukan lebih kukuh bagi memastikan pendedahan maklumat BO lebih komprehensif untuk entiti Labuan seperti syarikat tempatan dan asing, yayasan, badan amanah, perkongsian terhad dan perkongsian liabiliti terhad.

“Peruntukan itu termasuk takrifan meluas BO yang seiringan dengan saranan FATF, mewujudkan daftar BO dengan simpanan rekod sekurang-kurangnya enam tahun dan ketetapan bagi entiti memperoleh serta mengekalkan maklumat BO yang tetap dan terkini,” katanya.

Nik Mohamed Din berkata penambahbaikan peraturan itu juga memaparkan komitmen Malaysia untuk menegakkan piawaian antarabangsa selain mengukuhkan kedudukan Labuan IBFC sebagai hab kewangan global yang kompetitif serta telus.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan