EKONOMI > BERITA

Ericsson Gesa PKS Malaysia Teroka Pelbagai Penyelesaian 5G

29/08/2024 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia digesa meneroka pelbagai kaedah untuk memanfaatkan ketersambungan rangkaian 5G untuk perniagaan mereka, menurut syarikat telekomunikasi Ericsson.

Ketua Perusahaan Serantau bagi Asia Tenggara, Oceania dan India Ericsson Yasin Khan berkata PKS mempunyai alternatif kepada rangkaian persendirian yang kini menjadi pilihan industri lebih besar.

Beliau mencadangkan agar PKS menggunakan 5G melalui pilihan seperti network slicing, rangkaian kawasan luas tanpa wayar (WAN) atau penyelesaian wayarles pinggir berbanding bergantung kepada rangkaian persendirian semata-mata.

"Titik permulaan bagi perusahaan sama ada perusahaan besar atau PKS adalah untuk melihat terlebih dahulu apakah keperluan anda serta keupayaan untuk mencari penyelesaian yang betul dalam menggunakan rangkaian 5G.

"Kami telah melihat banyak PKS yang memanfaatkan penyelesaian berasaskan 5G awam untuk memacu automasi dan pendigitalan mereka bagi meningkatkan kecekapan daya saing mereka," katanya semasa webinar '5G Enterprises Connect' yang dihoskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan (MIDA), hari ini.

Sementara itu, ketua pegawai teknologi dan inovasi MCMC Shamsul Izhan Abdul Majid dalam ucapannya berkata MCMC menerajui transformasi perusahaan dengan memastikan pelancaran infrastruktur 5G yang cekap dan rangka kerja kawal selia yang memupuk inovasi dan pelaburan. 

“Sumbangan 5G dalam ekonomi digital dijangka meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dengan mewujudkan perkhidmatan dan industri baharu, mewujudkan model perniagaan baharu serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan merentas pelbagai sektor.

"Setakat ini, rangkaian 5G Malaysia meliputi kawasan bandar utama, dan kami berada di landasan yang sepatutnya untuk mencapai liputan seluruh negara menjelang 2025," katanya.

Beliau berkata sehingga Mei 2024, liputan 5G di kawasan berpenduduk telah mencapai 81.7 peratus dengan 14.1 juta langganan.

Melihat ke hadapan, Shamsul Izhan percaya 5G akan menjadi penting dalam membangunkan bandar pintar, kenderaan autonomi dan Internet Pelbagai Benda (IoT).

"Selain itu, peningkatan kecekapan tenaga dan inisiatif teknologi hijau yang dikaitkan dengan 5G akan sejajar dengan matlamat kemampanan kami, memastikan lonjakan teknologi ke arah masa depan yang lebih hijau dan lebih mampan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan