EKONOMI > BERITA

UOB, Invest Johor Jalin Kerjasama Pacu Pelaburan Ke Zon JS-SEZ

29/08/2024 05:10 PM

SINGAPURA, 29 Ogos (Bernama) -- Agensi pelaburan negeri Johor, Invest Johor dan institusi kewangan UOB hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memacu peluang pelaburan ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Perjanjian itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor Natazha Hariss dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei di luar acara Persidangan ASEAN di sini yang turut disaksikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UOB Wee Ee Cheong.

Di bawah kerjasama itu, UOB dan Invest Johor secara bersama akan mempromosi dan memudah cara peluang pelaburan di JS-SEZ dengan menyasarkan pelaburan bernilai, berteknologi dan berimpak tinggi daripada sektor keutamaan seperti elektrikal dan elektronik, pembuatan dan kejuruteraan tinggi, ekonomi digital, sains hayat dan teknologi perubatan, kenderaan elektrik, aeroangkasa, pelabuhan serta logistik.

“Satu laluan hijau akan diwujudkan dengan UOB berperanan sebagai rakan bagi membantu pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor-sektor keutamaan untuk melonjakkan usaha itu.

“UOB akan turut menyediakan perkhidmatan nasihat dan perbankan untuk syarikat-syarikat yang mahu melabur di Johor sepertimana digariskan dalam MoU itu,” kata bank berkenaan dalam kenyataan selepas majlis pemeteraian itu.

Sementara itu, Onn Hafiz menyifatkan MoU berkenaan sebagai antara bukti kesungguhan dan tumpuan Johor dalam meningkatkan pengalaman pelabur di negeri itu.

“Menerusi penglibatan kita dengan pihak berkepentingan utama JS-SEZ, harapan (terhadap JS-SEZ) adalah amat tinggi.

“Ini memerlukan kita untuk meningkatkan lagi usaha, menyediakan perkhidmatan yang cemerlang dan memastikan bukan setakat memenuhi tetapi turut melangkaui kesemua jangkaannya,” katanya dalam kenyataan sama.

Ng pula melihat pemeteraian MOU berkenaan sebagai mengukuhkan lagi komitmen UOB dalam memudah cara kemasukan FDI ke Malaysia dan menyokong kejayaan JS-SEZ.

“Selain membawa masuk pelaburan, kita akan turut menghubungkan pelabur asing dengan ekosistem rantaian nilai tempatan bagi manfaat perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana.

“Ia juga dapat memastikan pelabur asing meneroka sumber tempatan serta pelaburan yang dapat menyuntik pelbagai kesan limpahan kepada ekonomi,” katanya.

UOB juga terbabit dalam memudah cara mesyuarat antara Onn Hafiz dan delegasi Invest Johor dengan syarikat milik kerajaan China, Lingang Group yang pada masa ini mengendalikan Zon Perdagangan Bebas Perintis China (Shanghai), sebuah hab teknologi yang ditubuhkan pada 2019.

Pada masa sama, UOB turut menandatangani MoU dengan Kumpulan Lingang bagi kemudahan 18,000 penyewa kumpulan itu berkembang di Asia Tenggara.

Di bawah kerjasama itu, pelan pengembangan rentas sempadan Kumpulan Lingang akan memanfaatkan rangkaian perdagangan UOB sebagai bank pilihan bagi semua keperluan perbankannya.

Unit penasihat pelaburan langsung asing UOB juga akan berperanan sebagai pusat sehenti khusus untuk membantu Kumpulan Lingang menerusi perkongsian erat dengan agensi kerajaan serantau, persatuan perdagangan dan penyedia perkhidmatan profesional, menyediakan penyelesaian bersesuaian dengan rancangan pengembangan kumpulan.

UOB juga merupakan satu-satunya bank yang menandatangani MoU dengan semua agensi pelaburan kerajaan di pasaran utama ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan