EKONOMI > BERITA

Capital A Catat Kerugian Bersih RM454.18 Juta Pada Suku Kedua

29/08/2024 10:03 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Capital A Bhd mencatatkan kerugian bersih RM454.18 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM646.28 juta yang disaksikan semasa suku yang sama tahun sebelum ini.

Bagaimanapun, pendapatan bagi suku kedua adalah lebih tinggi pada RM4.86 bilion daripada RM3.15 bilion disebabkan oleh pemulihan kukuh dalam permintaan perjalanan domestik serta antarabangsa, kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Pada suku kedua, 87 peratus daripada pendapatan kumpulan itu dikaitkan dengan segmen penerbangan manakala perniagaan logistik, digital dan lain-lain menyumbang baki 13 peratus,” katanya.

Capital A melalui satu kenyataan berasingan berkata secara kolektif, ia mencapai keuntungan operasi bersih sebanyak RM52 juta, tetapi menyaksikan kerugian bersih RM542.5 juta yang disebabkan oleh kerugian pertukaran asing tidak direalisasikan berjumlah RM403.9 juta selain lebih RM175 juta dalam kos kewangan dan susut nilai yang berkaitan dengan kos pesawat yang tidak beroperasi.

“Bagaimanapun, tunai bersih kumpulan dari tahun sehingga kini daripada operasi meningkat dua kali ganda dari tahun ke tahun kepada RM2.1 bilion,” katanya.

Kumpulan itu terdiri daripada kumpulan penerbangan dan syarikat Capital A seperti Capital A Aviation Services, Teleport , MOVE Digital dan Capital A International.

Sementara itu, makluman kepada bursa menunjukkan bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (tahun kewangan 2024), kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM545.73 juta berbanding keuntungan bersih RM703.37 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Capital A, bagaimanapun berjaya, mengumpul hasil RM10.10 bilion untuk enam bulan pertama tahun kewangan 2024, berbanding RM5.68 bilion sebelumnya.

Kumpulan itu ketika mengulas mengenai prospek menjelaskan separuh pertama 2024 menandakan tempoh transformasi yang ketara untuk Capital A.

“Dengan pelan pelaksanaan korporat berjalan lancar dan memperoleh daya tarikan pasaran yang positif, Capital A dirangsangkan oleh keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap hala tuju strategik kami .

“Lembaga tetap optimis tentang prospek syarikat bagi 2024 dan komited untuk menyampaikan prestasi kewangan yang teguh,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan