EKONOMI > BERITA

Pelabur Asing Beli Ekuiti Bernilai RM1.5 Bilion Minggu Lalu, Tertinggi Sejak Mac 2016

02/09/2024 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Pelabur asing menjadi pembeli bersih ekuiti di Malaysia bernilai RM1.50 bilion untuk minggu ketiga berturut-turut, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Dalam laporan aliran dana untuk minggu berakhir 30 Ogos, 2024, MIDF berkata pelabur asing membeli setiap hari pada minggu lalu, mencatatkan jumlah pembelian bersih mingguan tertinggi setakat tahun ini dan yang tertinggi sejak minggu berakhir 18 Mac, 2016.

Tiga sektor utama yang jadi pilihan ialah perkhidmatan kewangan bernilai RM1.30 bilion, utiliti (RM259.7 juta) dan pembinaan (RM88.7 juta).

"Pelabur asing ini menjadi penjual bersih dalam sektor teknologi (–RM60.4 juta), pengangkutan dan logistik (–RM57.2 juta) serta perkhidmatan dan produk industri (–RM41 juta)," kata laporan itu.

Sementara itu, institusi tempatan menjual bersih sebanyak –RM1.26 bilion pada minggu lalu, jumlah tertinggi sejak minggu berakhir 4 Mac, 2022.

MIDF berkata mereka membeli sebanyak RM13.9 juta pada Isnin tetapi menjual dari Selasa hingga Jumaat.

Begitu juga dengan peruncit tempatan yang menjual untuk minggu kedua berturut-turut sebanyak –RM245.4 juta. Mereka hanya membeli ekuiti bernilai RM26.3 juta pada Khamis.

Bagi dagangan harian pula, secara purata meningkat +49.9 peratus dalam kalangan pelabur asing manakala institusi tempatan dan peruncit tempatan masing-masing mencatatkan penurunan –0.4 peratus dan –2.8 peratus.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan