EKONOMI > BERITA

3REN Memeterai Perjanjian Pengunderaitan Dengan KAF Investment Untuk IPO

02/09/2024 09:06 PM

GEORGE TOWN, 2 Sept (Bernama) -- Syarikat penyelesaian automasi dan perkhidmatan kejuruteraan, 3REN Bhd telah memeterai perjanjian pengunderaitan dengan KAF Investment Bank Bhd (KAF IB) untuk tawaran awam permulaan (IPO).

 Syarikat itu akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd menjelang suku keempat tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, 3REN Bhd berkata IPOnya melibatkan terbitan awam sebanyak 110 juta saham biasa baharu serta tawaran untuk penjualan sehingga 45 juta saham sedia ada.

"Bahagian terbitan awam mewakili 16.9 peratus daripada modal saham terbitan 3REN yang diperbesarkan. Daripada jumlah ini, 32.5 juta saham akan tersedia untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia, manakala, 30 juta saham akan diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan,” katanya.

Selain itu, 3.8 juta saham baharu akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), selain 43.7 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

Kumpulan itu juga menjelaskan bahawa bahagian tawaran untuk jualan, yang mewakili 6.9 peratus daripada modal saham terbitan 3REN yang diperbesarkan, akan dikeluarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 3REN, Koh Dim Kuan berkata penyenaraian itu akan memacu daya saing syarikat merentasi pelbagai industri yang menerima khidmatnya.

“Kami sedang membuat perkembangan serantau dengan menubuhkan pejabat jualan termasuk pemasaran di Singapura, bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan multinasional sedia ada kami dan secara strategik meletakkan diri kami lebih dekat dengan bakal pelanggan baharu.

"Dengan revolusi Industri 4.0 yang berterusan serta pertumbuhan dalam industri semikonduktor, kami yakin IPO ini akan membolehkan kami memanfaatkan peluang untuk meningkatkan kecekapan operasi syarikat dan meluaskan jangkauan pasaran kami pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KAF IB, Rohaizad Ismail berkata penyenaraian itu membolehkan 3REN mengukuhkan kedudukannya untuk mengambil kesempatan daripada prospek pemulihan industri dan inisiatif kerajaan dalam memajukan rantaian nilai semikonduktor.

KAF IB berfungsi sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk langkah IPO ini.

3REN mempunyai kehadiran serantau di luar Malaysia, syarikat itu beroperasi di Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, China, Vietnam, Filipina, Kanada, Costa Rica, India dan Taiwan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan