EKONOMI > BERITA

Generali Malaysia Buka Cawangan Di Sibu

03/09/2024 02:23 PM

SIBU, 3 Ogos (Bernama) -- Generali Insurance Malaysia Bhd telah membuka cawangan di Sibu untuk berfungsi sebagai hab inovasi dan pusat khidmat pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Fabrice Benard berkata pembukaan itu adalah susulan kepada pelancaran cawangannya di Kuching dan Kota Kinabalu.

“Cawangan Sibu kami mewakili langkah strategik dalam komitmen syarikat untuk membawa perkhidmatan peneraju industri lebih dekat kepada pelanggan kami.” katanya.

“Sebagai pintu masuk ke tengah-tengah Sarawak, Sibu mempunyai sejarah yang kaya serta masa depan yang menjanjikan, dengan infrastruktur yang mantap dan persekitaran perniagaan yang semakin berkembang yang menjadikannya lokasi yang ideal bagi pengembangan,” katanya semasa perasmian hari ini.

Cawangan Sibu menyediakan rangkaian perkhidmatan dan produk yang meluas termasuk insurans am serta hayat di bawah satu bumbung dan akan menjadi sebahagian daripada komuniti, katanya.

Pendekatan bersepadu ini direka bagi memenuhi keperluan komuniti dan perniagaan tempatan, mengukuhkan komitmen Generali Malaysia untuk menjadi rakan kongsi seumur hidup yang dipercayai kepada pelanggannya. 

“Di Generali Malaysia, kami percaya dalam pembinaan hubungan yang berkekalan dengan komuniti tempat kami berkhidmat. Cawangan Sibu kami adalah lebih daripada sekadar pejabat baharu; ia adalah bukti dedikasi kami untuk menyokong pertumbuhan dan kesejahteraan di rantau ini,” katanya.

Benard menambah ketika syarikat berusaha ke arah menjadi penanggung insurans pilihan di Malaysia, ia tetap komited bagi menyampaikan penyelesaian insurans yang disesuaikan termasuk memberikan perkhidmatan yang unggul kepada penduduk Sibu dan selanjutnya.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee merasmikan pejabat itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan