EKONOMI > BERITA

Solarvest Dapat Kontrak EPCC RM113 Juta Di Bawah Program Tenaga Hijau Korporat

03/09/2024 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Solarvest Holdings Bhd telah memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM113 juta daripada P Solar Sdn Bhd.

Syarikat tenaga bersih itu melalui satu kenyataan hari ini berkata perkongsian itu, sebahagian daripada Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), akan memudahkan pembangunan ladang solar berkapasiti 45 MWp di Pekan, Pahang.

CGPP merupakan inisiatif kerajaan dalam memberi peluang kepada entiti perniagaan menyertai penggalakan dan penggunaan tenaga boleh baharu dalam operasi perniagaan mereka.

“Ladang solar tersebut dijangka menjana kira-kira 57,500 MWj tenaga bersih setiap tahun, yang boleh mengimbangi sekitar 36,800 tan pelepasan CO2,” kata Solarvest.

Projek ladang solar itu dianggarkan selesai menjelang penghujung 2025 dan dijangka menyumbang hampir 60,000 Pensijilan Tenaga Boleh Baharu (REC) kepada pasaran.

REC ini akan membantu pengguna korporat mencapai objektif kelestarian selain mengurangkan jejak karbon mereka.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata permintaan untuk REC semakin meningkat di Malaysia, didorong oleh pelaburan dalam pusat data dan industri semikonduktor.

Beliau berkata banyak syarikat telah menetapkan matlamat kemampanan yang bercita-cita tinggi, termasuk sifar bersih pelepasan karbon, bagaimanapun, ruang siling yang terhad boleh menjadikan pengisian komitmen sifar bersih mereka mencabar.

Penyelidikan sebelum ini menunjukkan bahawa 12GW tambahan kapasiti tenaga boleh baharu terpasang akan diperlukan bagi memenuhi permintaan domestik menjelang 2050, di samping empat GW sedia ada.

“CGPP membolehkan pelabur solar seperti P Solar menyumbang dan membina infrastruktur tenaga boleh baharu yang diperlukan,” Chong berkata.

Solarvest telah membantu pelabur serta rakan kongsi tenaga bersih untuk membida sekitar 443.4 MWp CGPP, dan kumpulan itu kini sedang giat memancing peluang EPCC dengan potensi pendapatan melangkaui 714 juta.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Solarvest berkata kontrak EPCC berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih, pendapatan sesaham dan kumpulan syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, sehingga projek itu siap.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan