EKONOMI > BERITA

Synergy ESCO Peroleh Kemudahan Bank Bernilai RM50 Juta Untuk Projek ESG

03/09/2024 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Synergy ESCO (Malaysia) Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan Maybank untuk memperoleh kemudahan bank bernilai RM50 juta bagi portfolio projek-projek cekap tenaga yang sejajar dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di Malaysia.

Kerjasama itu menekankan komitmen syarikat induknya, Unity Group Holdings International Ltd untuk terus mengembangkan kehadirannya di Malaysia, meningkatkan penyampaian bagi penyelesaian cekap tenaga kepada hartanah strata dan komersial, serta mempromosikan kemampanan alam sekitar bersama kerajaan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Synergy ESCO ialah anak syarikat Unity Group yang disenaraikan di Hong Kong dan merupakan penyedia penyelesaian dalam penjimatan tenaga.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Unity Group Mansfield Wong berkata kerjasama itu bagi menyokong jejak ESG di Malaysia dan menyediakan sokongan kewangan untuk "mempercepat" pelaksanaan penyelesaian tenaga mampan.

Pengarah Urusan Liputan Pelanggan Maybank Lyana Jessie Lim berkata kerjasama itu menunjukkan dedikasi Unity Group dan bank tersebut untuk memacu perubahan yang memberi kesan kepada landskap tenaga Malaysia dan selaras dengan komitmen bank untuk mengembangkan penyelesaian berasaskan nilai dan mampan.

Kenyataan tersebut juga berkata Synergy ESCO telah bekerjasama dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk memasang 6,000 unit kondominium dengan lampu LED Unity Group pada tahun lalu bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam "Program Inisiatif Hijau".

“Sehingga kini, syarikat telah menggunakan kira-kira 500,000 lampu LED berkecekapan tenaga tinggi atau 8.33 peratus daripada sasaran kami di Selangor. Kami telah mencapai penjimatan tenaga sehingga 72 peratus,” kata kenyataan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan