EKONOMI > BERITA

Pesawat A350 Malaysia Airlines Beroperasi Seperti Biasa, Enjin Berbeza Dari Pesawat Cathay Pacific - Loke

03/09/2024 07:28 PM

SEPANG, 3 Sept (Bernama) -- Pesawat Airbus A350 Malaysia Airlines akan beroperasi seperti biasa walaupun syarikat penerbangan Cathay Pacific menggantung keseluruhan operasi 48 pesawat Airbus A350 miliknya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata syarikat penerbangan nasional Malaysia itu tidak akan mengikuti langkah yang diambil oleh Cathay Pacific.

“Buat masa ini, tidak. Saya berhubung dengan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Penerbangan Malaysia pagi ini. Syarikat itu menghubungi Airbus dan ia telah menyemak (isu ini) dengan Airbus. Varian enjin yang digunakan di sini adalah berbeza daripada yang digunakan oleh A350 Cathay Pacific.

“Jika ada keperluan, tindakan lanjut boleh diambil. Tetapi setakat ini, ia boleh beroperasi seperti biasa,” katanya kepada media selepas melancarkan Capsule Transit MAX di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Media melaporkan bahawa syarikat penerbangan Hong Kong itu juga telah membatalkan 24 penerbangan pergi balik selepas mengesan masalah enjin pada satu daripada pesawat berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Cathay Pacific berkata berlaku kegagalan komponen enjin melibatkan penerbangan CX383 dari Hong Kong ke Zurich pada Isnin (2 Sep). Pesawat itu kembali ke Hong Kong beberapa minit selepas berlepas.

Sementara itu, Pengarah kejuruteraan Cathay Pacific Keith Brown dalam satu kenyataan berkata sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya secara proaktif memulakan pemeriksaan menyeluruh ke atas 48 pesawat A350 mereka.

“Setiap pesawat sedang menjalani pemeriksaan rapi. Selepas siap, pesawat yang dibenarkan beroperasi akan kembali beroperasi manakala pesawat  yang dikenal pasti mempunyai masalah teknikal akan menjalani kerja pembaikan dan penyelenggaraan selanjutnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan