EKONOMI > BERITA

Pendapatan Saham Komponen FBM KLCI Diunjur Meningkat - CIMB Securities

04/09/2024 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd telah menyemak naik unjuran pertumbuhan pendapatan saham komponen FBM KLCI masing-masing sebanyak 13 peratus untuk 2024 dan 8.6 peratus pada 2025 berbanding anggaran sebelumnya pada 11.2 peratus dan 8.2 peratus.

Unjuran itu didorong oleh peningkatan pendapatan Maybank, Tenaga Nasional, CIMB, Genting dan SD Guthrie yang secara gabungan menyumbang 64 peratus daripada unjuran pertumbuhan pendapatan FBM KLCI bagi tahun ini.

Dalam nota penyelidikannya, firma pembrokeran saham itu berkata susulan semakan itu, FBM KLCI kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) ke hadapan 12 bulan sebanyak 15.2 kali dengan hasil dividen sebanyak empat peratus.

“Kami menaikkan unjuran FBM KLCI akhir 2024 kepada 1,732 mata dan kekal optimis terhadap pasaran berikutan kestabilan politik, peningkatan aliran masuk dana asing ke pasaran Malaysia serta pendapatan korporat lebih kukuh dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

CIMB Securities juga menegaskan bahawa pemangkin utama bagi pasaran termasuk aliran masuk dana asing yang meningkat, pertambahan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan serta prestasi ringgit yang lebih kukuh.

Selain itu, risiko utama bagi pendapatan termasuk pertumbuhan global lebih lemah, risiko geopolitik dan peningkatan kos operasi akibat kenaikan cukai serta pelan penyasaran semula subsidi dalam separuh kedua 2024.

Dalam pada itu, CIMB Securities mengekalkan saranan ‘overweight’ atau wajaran tinggi terhadap sektor-sektor seperti bank, pembinaan, bahan mentah, perkhidmatan penghantaran ekspres, automotif, utiliti, telekomunikasi dan perladangan.

“Pilihan utama kami adalah CelcomDigi, Gamuda, Hong Leong Bank, Farm Fresh, IHH dan Maxis,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan