EKONOMI > BERITA

EPIC Wujudkan Kemudahan Kitar Semula, Penamatan Kapal Secara Mampan Di Pelabuhan Kemaman

04/09/2024 10:28 PM

KUALA TERENGGANU, 4 Sept (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) akan menubuhkan kemudahan kitar semula kapal hijau (GSRF) dan kemudahan pemulihan bagi penamatan (DRF) kapal di Pelabuhan Kemaman.

Menerusi kenyataan pada Rabu, EPIC menjelaskan penubuhan rintis melalui anak syarikatnya, Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd itu dijangka mentransformasikan industri maritim apabila kemudahan tersebut beroperasi sepenuhnya pada akhir 2026.

Kemudahan canggih di kawasan seluas 5.3 hektar di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) itu dijangka menjadi tonggak utama bagi kitar semula dan penamatan kapal secara mampan di negara ini, tambah EPIC.

“GSRF direka dengan mematuhi piawaian alam sekitar dan keselamatan antarabangsa yang tertinggi, termasuk keperluan ketat yang ditetapkan Konvensyen Antarabangsa Hong Kong untuk Kitar Semula Kapal yang Selamat dan Mesra Alam (Konvensyen Hong Kong).

“Konvensyen ini, yang akan berkuat kuasa pada 26 Jun tahun depan, memastikan kapal pada akhir hayat operasinya dikitar semula dengan selamat, meminimumkan risiko kepada kesihatan manusia dan alam sekitar,” jelasnya.

Menurut EPIC kawasan himpitan basah, antara ciri utama GSRF, direka khusus bagi pengendalian projek penamatan yang besar dan sukar, termasuk menanggalkan platform luar pesisir yang membolehkan pengendalian struktur besar dengan lancar, seterusnya menjadikan GSRF sebagai kemudahan pilihan untuk pelupusan aset luar pesisir.

“GSRF juga akan berfungsi sebagai tempat pelupusan darat atau DRF untuk platform luar pesisir yang dijadualkan untuk penamatan.

“Peranan dwifungsi ini mencerminkan usaha EPIC untuk menyokong sektor minyak dan gas luar pesisir Malaysia dengan cara yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, memastikan aktiviti pembaikan bagi penamatan dijalankan dengan kesan minimum terhadap alam sekitar,” tambahnya.

EPIC memaklumkan pihaknya yakin GSRF akan menjadi model untuk industri, menetapkan piawaian baharu bagi kelestarian alam sekitar dan kecemerlangan operasi.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Muhtar Suhaili berkata kemudahan itu juga dijangka merevolusikan pelupusan kapal dan platform yang telah tamat tempoh melalui potensi dan kecekapan yang cemerlang sejajar dengan lokasi strategik dan pematuhan kepada garis panduan kesihatan, keselamatan, dan alam sekitar (HSE) yang terbaik.

“Beroperasi dari Pelabuhan Kemaman, pelabuhan yang beroperasi dalam semua jenis cuaca dan perairan dalam, GSRF dijangka memproses antara 30,000 hingga 50,000 tan bahan setiap tahun, menjadikannya antara kemudahan kitar semula kapal yang paling cekap dan selamat di negara ini.

“Inisiatif ini juga dioptimumkan untuk pengurangan pelepasan CO2 dan kitar semula komponen bukan logam yang mampan,” katanya.

Beliau berkata lebih daripada sekadar tempat kitar semula, kemudahan itu juga mewakili satu piawaian baharu dalam operasi maritim yang mampan.

Beliau turut yakin GSRF tidak hanya akan mempelbagaikan tawaran EPIC malah juga mengukuhkan transformasi Pelabuhan Kemaman menjadi pelabuhan hijau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan