EKONOMI > BERITA

Malaysia Sedia Sambung Semula Rundingan FTA Dengan EU - Tengku Zafrul 

05/09/2024 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Malaysia secara rasminya bersedia untuk menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) bagi memuktamadkan perjanjian tersebut, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata perkara itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri baru-baru ini dan kerajaan akan memastikan rundingan tersebut akan mewujudkan situasi menang-menang kepada EU dan Malaysia.

“Baru-baru ini, kita telah membentangkan kepada Jemaah Menteri supaya kita memulakan semula rundingan itu. Sama ada boleh selesai atau tidak, kita tidak tahu lagi. 

“Ada banyak permintaan supaya kita memulakan semula rundingan. Sekarang, terpulang kepada EU sama ada ia mahu memulakannya atau tidak,” katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga Awani bertajuk ‘BRICS: Menangkis Persepsi Salah’ terbitan Astro Awani hari ini.

Rundingan mengenai FTA dimulakan pada Oktober 2010 yang melibatkan lapan pusingan rundingan sehingga September 2012 namun ditangguhkan berikutan keraguan Malaysia dalam beberapa aspek seperti minyak sawit, dasar perolehan, subsidi dan klausa kemampanan EU.

Tengku Zafrul berkata setakat ini, hanya dua negara di Asia Tenggara yang telah memuktamadkan FTA bersama EU iaitu Vietnam dan Singapura.

Selain itu, katanya Malaysia akan memuktamadkan FTA dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada akhir tahun ini dan akan memulakan semula rundingan dengan Korea Selatan yang dijangka selesai pada tahun depan. 

“Kita ada lagi satu rundingan dengan dua atau tiga negara Eropah yang tidak termasuk dalam EU dan akan memuktamadkan FTA dengan negara-negara tersebut,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan ingin memastikan Malaysia berkolaborasi dengan semua negara secara konsisten, terbuka dan neutral.

Katanya pada masa ini, Malaysia mempunyai 16 FTA merangkumi pelbagai hala dan dua hala antaranya Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). 

Mengenai hasrat Malaysia menyertai BRICS, Tengku Zafrul berkata gabungan saiz ekonomi negara-negara BRICS adalah hampir 30 peratus daripada saiz ekonomi dunia dan ini menunjukkan ia merupakan satu blok ekonomi yang besar.

“Oleh itu, kita ingin menyertai blok itu supaya dapat menggunakan platform ini sebagai forum untuk berkolaborasi dengan negara-negara anggota dan sebagai satu suara kepada dunia mengenai cabaran yang dihadapi oleh Global South dari segi perubahan iklim, tenaga, geopolitik dan ekonomi,” katanya. 

Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara yang berprinsipkan ekonomi terbuka dan neutral serta penting untuk negara terus berkolaborasi dengan semua pihak.

Malaysia telah mengemukakan permohonan untuk menyertai BRICS, blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009 dan merangkumi Brazil, Rusia, India serta China selain disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010.

Pada Januari 2024, negara-negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia dan UAE turut menyertainya sebagai anggota baharu.

-- BERNAMA  

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan