EKONOMI > BERITA

Malaysia Catat 58.6 Juta Pelancong Domestik Pada Suku Pertama 2024

07/09/2024 06:06 PM

BACHOK, 7 Sept (Bernama) -- Malaysia mencatatkan 58.6 juta pelancong domestik bagi suku pertama tahun ini, iaitu meningkat 19 peratus berbanding 49.26 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM24.1 bilion perbelanjaan pelancong domestik direkodkan.

"Jumlah perbelanjaan pelancong domestik ini meningkat 25.3 peratus berbanding tahun lepas yang berjumlah RM19.21 bilion.

"Pelancong domestik diambil kira bagi yang melakukan perjalanan melebihi 25 kilometer dan bermalam manakala jika tidak bermalam, mereka tidak dikira sebagai pelancong, hanya direkodkan sebagai pelawat biasa atau datang untuk bekerja," katanya kepada pemberita pada program Temasya Orang Kampung (TOK) 3.0 "Sanggar Warisan" 2024 di Kem D'Telong di sini hari ini.

Beliau berkata antara faktor peningkatan pelancong domestik ialah jumlah cuti yang banyak dan kecenderungan untuk menikmati ketenangan terkini menjadi trend semasa rakyat Malaysia.

Musa berkata antara negeri yang tertinggi dikunjungi ialah Selangor, diikuti Pahang dan Melaka yang mempunyai banyak tarikan pelancongan.

"Orang sekarang suka healing, bercuti atau melancong yang kini bukan lagi berkaitan dengan kemewahan, tetapi lebih kepada keperluan untuk mencari ketenangan dan berseronok bersama keluarga," katanya.

Beliau berkata pelawat dicadangkan membuat perancangan awal bagi mengelak kos lebih mahal terutama pada musim kemuncak seperti cuti sekolah atau perayaan.

Mengulas mengenai program TOK, beliau berkata penganjuran aktiviti pelancongan di pedalaman mampu dijadikan antara tarikan pelancong ke Malaysia yang memberi pengalaman peribadi menyertai sukan rakyat, seni budaya dan produk kraftangan tempatan mampu memberi penilaian berbeza kepada pelancong.

Musa berkata acara menarik dalam program TOK termasuk sukan rakyat seperti tarik upih dan galah panjang, selain aktiviti kukur kelapa, demonstrasi pembuatan tembikar, tikar kercut, tengkolok dan atap singgora serta pameran jualan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan