EKONOMI > BERITA

Pensijilan Halal Bantu Perluaskan Produk Dan Perkhidmatan Ke Peringkat Antarabangsa - Matrade

08/09/2024 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) — Pensijilan halal memainkan peranan kritikal bagi memperluaskan pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pasaran produk dan perkhidmatan halal dijangka bernilai US$5 trilion pada tahun 2030.

Malaysia tampil sebagai peneraju dalam industri halal global, menetapkan standard kecemerlangan dan inovasi yang menjadi penanda aras. 

“Kepimpinan Malaysia dalam sektor ini sukar dipertikaikan, sentiasa menjangkau batas baharu dan meningkatkan piawaian di peringkat antarabangsa,” katanya dalam catatan di laman Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dilapor menyatakan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan.

“Sebagai perintis, Malaysia bukan sahaja memperkukuh kedudukannya sebagai pihak berkuasa yang dipercayai tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan ekonomi halal global,” kata Reezal.

Kerjasama rapat antara MATRADE dan Halal Development Corporation (HDC) memastikan produk halal Malaysia dikenali dan diterima di peringkat antarabangsa seterusnya memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama dalam industri halal global.

“Menerusi pensijilan halal, peniaga Malaysia diberikan akses kepada pasaran global yang luas, merangkumi lebih daripada 1.9 bilion pengguna Muslim di seluruh atau mewakili 24 peratus jumlah penduduk dunia. 

“Ini adalah peluang signifikan bagi peniaga untuk meningkatkan jualan dan memperluaskan jenama mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pensijilan itu membina kepercayaan dan keyakinan pengguna, ia penting dalam memacu peningkatan jualan.

“Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa berusaha memastikan proses pensijilan halal adalah cekap dan mesra peniaga. Langkah-langkah telah diambil untuk memperbaiki proses ini agar tidak membebankan dari segi masa dan kos,” katanya. 

Pada masa sama, Reezal berkata banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia menghasilkan produk halal untuk tujuan eksport, membuka peluang pekerjaan dan menambah nilai ekonomi negara.

“Pensijilan ini mempermudah produk tempatan untuk diterima di pasaran antarabangsa, yang menyumbang kepada peningkatan eksport negara,” katanya.

Malaysia telah menarik pelaburan asing sebagai pusat pengeluaran produk halal, mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai hab halal global. 

“Selain daripada limpahan ekonomi di peringkat negara, industri halal negara juga berhasil membawa masuk syarikat multinasional untuk melabur seperti Coca-Cola, F&N, Nestle, Kelogg’s dan Hershey’s,” katanya.

Lebih signifikan, menurut beliau, industri halal telah menyumbang sebanyak 7.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 (RM108.5 bilion) dan dijangka meningkat kepada 10.8 peratus  menjelang tahun 2030 (RM231.1 bilion).

“Secara keseluruhannya, statistik dan perkembangan terkini ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dalam menerajui industri halal global,” katanya. 

Sehubungan itu, Reezal berkata MATRADE memahami kebimbangan syarikat-syarikat Malaysia dan akan kekal komited untuk terus memberikan sokongan diperlukan bagi memastikan pensijilan halal merupakan proses yang memberikan faedah dan bukan bebanan kepada syarikat-syarikat Malaysia, terutamanya pengeksport.

“Komitmen teguh Malaysia terhadap amalan halal terus memberi inspirasi dan membina keyakinan di peringkat global sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam industri yang pesat berkembang ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan