EKONOMI > BERITA

HLIB Tetapkan Harga Sasaran RM1.98 Untuk 99 Speed Mart

09/09/2024 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank (HLIB) menetapkan harga sasaran (TP) 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd ialah pada RM1.98 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 30 kali ganda untuk pendapatan tahun kewangan 2025 (FY25).

PE itu mewakili kira-kira 40 peratus premium berbanding rakan setara 99 Speed ​​Mart, yang mencerminkan kepimpinan pasaran dan strategi pengembangan kedai yang agresif.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, HLIB mengunjurkan 99 Speed Mart akan mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun dalam hasil dan keuntungan bersih dari FY23 hingga FY26, didorong oleh penambahan 250 kedai runcit setiap tahun dan pertumbuhan jualan di kedai sama yang stabil sebanyak dua peratus setahun.

HLIB juga menekankan keupayaan syarikat untuk berkembang dengan cekap disebabkan oleh penempatan strategik kedainya, susun atur barangan, pemilihan produk dan saiz kedai yang optimum antara 2,000 hingga 3,000 kaki persegi.

Ia berkata tempoh bayar balik yang singkat bagi kedai-kedai tersebut iaitu tiga tahun dengan perbelanjaan modal yang minimum sebanyak RM300,000 setiap kedai (tidak termasuk inventori).

"Selain itu, 99 Speed Mart memiliki rangkaian pusat pengedaran di seluruh negara sebanyak 19 pusat di sembilan negeri yang menyokong sistem kawalan dan pengurusan runcitnya," katanya.

Beroperasi dalam industri peruncitan berasaskan barangan runcit, terutamanya dalam segmen pasar mini yang kukuh, 99 Speed Mart memegang 40.1 peratus bahagian pasaran berdasarkan jualan pada 2023, menurut Frost & Sullivan.

Syarikat itu juga memiliki jumlah cawangan terbesar dalam kalangan pemain-pemain pasar mini Malaysia.

“Bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk pengembangan di kawasan Pantai Timur dan Malaysia Timur, yang pada masa ini mempunyai kadar penembusan yang rendah," kata HLIB.

99 Speed Mart membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini, menjadikan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu sebagai yang terbesar di Malaysia dalam tempoh tujuh tahun, sejak penyenaraian Lotte Chemical Titan Holding Bhd yang bernilai RM3.77 bilion pada 2017.

Diniagakan di bawah nama 99SMART, saham tersebut mencatat penampilan yang kukuh, meningkat 20 sen atau 12.12 peratus kepada RM1.85, naik daripada harga IPO pada RM1.65, dengan 53.82 juta saham diniagakan.

Menjelang 12.30 tengah hari, saham tersebut mencapai paras tertinggi pada RM1.92 sebelum rehat tengah hari pada RM1.91, naik 26 sen atau 15.76 peratus dengan 355.25 juta saham diniagakan.

HLIB berkata syarikat tersebut komited kepada dasar pembayaran dividen sebanyak 50 peratus, disokong oleh aliran tunai bebas yang kukuh dan penyata kewangan yang sihat dengan kedudukan tunai bersih.

“Bagaimanapun, berdasarkan harga IPO, hasil dividen secara relatifnya adalah agak tidak menarik pada 1.8 peratus," tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan