EKONOMI > BERITA

Malaysia Sedang Perhebat Kemampuan Dalam Industri Semikonduktor - Tengku Zafrul

09/09/2024 10:45 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Malaysia sedang memperhebat keupayaannya dalam industri semikonduktor dan melonjakkan kedudukan dalam rantaian bekalan dengan menumpukan segmen ‘front-end’ atau proses awal termasuk fabrikasi. 

Ketika berkongsi usaha itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini penting memandangkan Malaysia mempunyai kelebihan daya saing dalam sektor berkenaan, termasuk sebagai pemain utama dalam industri elektrikal dan elektronik sejak lebih lima dekad lamanya.

Beliau berkata eksport semikonduktor pada masa ini menyumbang 40 peratus daripada keseluruhan eksport negara manakala sumbangan dalam pasaran global pula mencecah enam peratus.

“Kita mempunyai kelebihan ini berikutan rekod prestasi dan ekosistem yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat tempatan dan multinasional.

“Kehadiran syarikat multinasional ini turut mewujudkan pelbagai peluang bagi membolehkan syarikat tempatan berkembang,” katanya.

Bercakap pada sesi forum Bloomberg secara maya bertemakan ‘Spotlight on ASEAN Business: Charting New Frontiers,’ hari ini, Tengku Zafrul berkata Malaysia juga menyasarkan untuk meningkatkan lagi kedudukan dalam segmen ‘front-end’ sektor berkenaan.

“Kalangan syarikat-syarikat juga bergerak ke arah sama. Mereka akan ke Malaysia dan ini dapat anda lihat menerusi pelaburan dalam jumlah yang besar,” katanya.

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata terdapat banyak peluang untuk kalangan anggota ASEAN bekerjasama bagi melonjakkan industri semikonduktor, termasuk mewujudkan satu ekosistem dalam rantau itu.

Beliau turut merujuk contoh bagaimana syarikat-syarikat di Singapura bertindak mengembangkan operasi ke Malaysia dengan proses ‘front-end’ berkenaan kebanyakannya dijalankan di Singapura manakala operasi pertengahan sehingga ‘back-end’ seperti pembungkusan pula bertumpu di Malaysia.

Dalam pada itu ASEAN juga, kata Tengku Zafrul, mempunyai kelebihan lain yang dapat memacu pertumbuhan industri semikonduktor dalam rantau berkenaan seperti tenaga hijau.

“Sektor ini memerlukan banyak tenaga dan syarikat-syarikat pula mahukan tenaga hijau. Semua pihak mahu menepati objektif dan agenda kemampanan masing-masing.

“Malaysia sedang melabur dalam tenaga hijau bagi menyokong industri ini dan saya yakin negara-negara anggota ASEAN lain akan turut melakukan perkara sama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan