EKONOMI > BERITA

Malaysia Perlu Berani Dalam Giatkan Semula Integrasi Ekonomi ASEAN - Maybank IB

11/09/2024 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Malaysia perlu berani dan menerajui dalam usaha menggiatkan semula momentum integrasi ekonomi serantau dan mewujudkan nilai Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang lebih dinamik dan yakin selepas 2025, menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).

Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini, Malaysia yang akan mengambil alih kepengerusian ASEAN pada tahun depan akan berada dalam tempoh penting berikutan rantau ini beralih daripada tahun akhir Pelan Tindakan AEC 2025 kepada membangunkan perancangan ekonomi pasca 2025.

“Walaupun tiada penyelesaian yang cepat untuk isu-isu yang rumit (langkah-langkah bukan tarif, mobiliti modal insan, perdagangan antara ASEAN/pelaburan langsung asing (FDI), Bank Kelayakan ASEAN) yang menjejaskan integrasi dan daya tahan ekonomi ASEAN, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dirancang merupakan peluang untuk Malaysia memfokuskan semula kepada ASEAN dalam inisiatif dan peluang serantau serta menerajuinya dalam menangani halangan tersebut,” katanya.

Maybank IB berkata visi AEC pasca 2025, walaupun berasaskan realiti yang praktikal, ia juga perlu  bersifat inklusif, mempunyai matlamat dan pragmatik serta berpandangan jauh, mengambil kira perubahan berterusan dalam persekitaran politik-ekonomi global dan serantau yang akan dihadapi rantau ini.

“Oleh itu, AEC, bersama dengan tonggak ASEAN yang lain, sedang membangunkan pelan strategiknya, yang akan diguna pakai serentak dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045,” katanya. 

Mengenai prospek perniagaan untuk operasi di ASEAN, katanya daripada perniagaan asing yang dikaji, sebanyak 64 peratus menunjukkan bahawa ASEAN akan menjadi semakin penting untuk operasi perniagaan mereka dalam tempoh beberapa tahun akan datang manakala 32 peratus menunjukkan rantau ini akan kekal penting.

Katanya hanya tiga peratus menunjukkan kepentingan ASEAN akan berkurangan.

“Selain itu, lebih 50 peratus daripada perniagaan asing menunjukkan peningkatan pelaburan dalam operasi mereka di ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan kurang daripada empat peratus menunjukkan penurunan dalam pelaburan mereka, mencerminkan prospek positif untuk ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan