EKONOMI > BERITA

MALAYSIA KEKAL KOMITED KEPADA SISTEM ANTARABANGSA BERASAS PERATURAN - LOKE

17/12/2024 10:33 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Malaysia kekal komited kepada sistem antarabangsa berasaskan peraturan memandangkan ekonomi global yang semakin berpecah-pecah, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata keterbukaan negara ini telah sekian lama menjadi teras kepada kemakmuran Malaysia.

"Kami akan memartabatkan prinsip perdagangan bebas dan adil serta terus berperanan sebagai penghubung antara negara-negara, menggalakkan dialog dan pemahaman," katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024) di sini hari ini.

Bersandarkan Ekonomi MADANI, beliau berkata Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Dasar Pelaburan Baharu telah meletakkan asas bagi pertumbuhan yang mampan.

Beliau berkata inisiatif ini memanfaatkan prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus serta dihasilkan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi bagi memastikan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin global dalam perdagangan dan industri.

"Usaha ini telah mula membuahkan hasil. Pada separuh pertama 2024, kami berjaya menarik pelaburan sebanyak RM160 bilion dalam sektor utama, dan menjelang 2030, sektor pembuatan dijangka menyumbang sebanyak RM587.5 bilion setiap tahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Angka-angka ini memaparkan senario daya tahan, hasrat dan kepercayaan dalam apa-apa yang boleh kita boleh capai bersama-sama," katanya.

Menurut Loke, komitmen Malaysia terhadap keterbukaan dan kerjasama adalah lebih daripada hubungan dua hala.

"Kami sangat yakin dengan kuasa globalisasi, yang bukan merupakan punca perpecahan sebaliknya sebagai pendorong untuk kebaikan.

"Kami melihat perdagangan sebagai jambatan yang menghubungkan negara-negara, inovasi sebagai alat yang menambah baik kehidupan, dan kerjasama sebagai kunci untuk menyelesaikan cabaran bersama," katanya.

Loke berkata komitmen ini diperlihatkan menerusi penyertaan aktif Malaysia dalam platform seperti Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE).

Menurutnya Malaysia merupakan tetamu kehormat pada ekspo tahun ini, dengan mempamerkan industri dinamiknya dan menjana  prospek perdagangan berjumlah RM300 juta.

Ketika Malaysia bersiap sedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan,” beliau berkata negara komited untuk mendorong rantau yang progresif dan adil, serta peluang yang dikongsi bersama.

"China telah menjadi rakan yang komited dalam perjalanan ASEAN. Daripada projek infrastruktur transformasi sehingga pelaburan terkini, syarikat China telah menyumbang kepada kemajuan rantau ini.

"Segmen seterusnya dalam kerjasama kami, berpandukan Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan (2024-2028) antara Malaysia dan China, kami akan memanfaatkan lebih banyak potensi dalam bidang seperti teknologi hijau dan transformasi digital," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif QUBE Integrated Malaysia Sdn Bhd Richard Teo berkata MCS 2024, bertemakan "Prosperity Beyond 50," mencerminkan dedikasi pelbagai rakan kongsi daripada kementerian, kerajaan, sektor korporat dan agensi kepada persatuan industri, dewan perdagangan dan kesatuan serantau.

Beliau berkata MCS 2024 akan menganjurkan Ekspo Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa selama tiga hari, mengetengahkan pempamer pelbagai sektor dari Malaysia, China dan di luarnya  untuk menjalin perkongsian dan meneroka prospek pelaburan.

"Kami berhasrat menjadikan acara ini sebagai lokasi pertemuan untuk kerjasama yang mantap dan pertukaran idea, budaya dan nilai yang akan memberi inspirasi kepada generasi peneraju perniagaan akan datang untuk terus membina masa depan rantau ini," katanya.

Teo turut merakamkan penghargaan kepada penaja program iaitu Huawei Technologies Malaysia sebagai penaja emas, Kuok Brothers Sdn Bhd dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) selaku penaja perak, Berjaya Food Bhd dan DSR Taiko Bhd sebagai penaja korporat, AirAsia sebagai syarikat penerbangan rasmi serta rakan kongsi strategik lain.

Bernama, bersama-sama Star Media Group dan Sin Chew Daily adalah rakan media rasmi MCS 2024.

-- BERNAMA



BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan