EKONOMI > BERITA

PIPC Berkembang Pantas, Bina Momentum Bagi Pertumbuhan Seterusnya

12/09/2024 02:40 PM

Oleh Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), inisiatif pembangunan minyak dan gas utama Malaysia yang berkembang pesat sejak 11 tahun lalu kini semakin menarik minat pelaburan dari luar negara, dengan fasa kedua pembangunannya akan berakhir tahun depan.

Antara yang memacu pertumbuhan masa depan kompleks tersebut termasuklah prospek cerah bagi industri petrokimia, pembukaan taman perindustrian, insentif menarik bagi pelabur global, sokongan daripada dasar peralihan tenaga, pelan induk perindustrian negara dan yang penting membawa masuk bakat terbaik.

Timbalan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Petroleum Johor (JPDC) Izhar Hifnei Ismail berkata pasca COVID-19, prospek bagi sektor petrokimia dan kimia terus berkembang kukuh.

“Bagi tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, terdapat petanda permintaan terhadap petrokimia dan produk kimia, bahan mentah dan barangan siap akan meningkat,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di Johor Bahru, baru-baru ini.

Peranan utama JPDC adalah untuk menyelaraskan pembangunan PIPC dan menjadi pusat maklumat sehenti untuk membantu pelabur, pemain minyak dan gas, dan masyarakat setempat.

Berdasarkan input daripada industri, beliau berkata, selagi populasi terus meningkat dan ekonomi global terus berkembang, akan ada permintaan tinggi terhadap produk petrokimia dan kimia.

“Oleh itu, prospek bagi industri petrokimia dan kimia Malaysia adalah positif,” katanya.

Izhar berkata, fasa pertama (2013-2019) daripada empat fasa pembangunan PIPC selama 25 tahun itu telah selesaim, terdiri daripada dua projek pemangkin. 

Projek tersebut ialah Terminal Laut Dalam Pengerang, kemudahan penyimpanan minyak dan produk petroleum yang dibangunkan oleh Dialog Group Bhd dan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang terdiri daripada kemudahan penapisan dan petrokimia yang dibangunkan Petronas. 

 

DASAR DAN INSENTIF KERAJAAN TARIK LEBIH BANYAK MINAT

 

Pada 13 Okt 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan PIPC akan dijadikan sebagai hab untuk aktiviti petrokimia dan kimia, yang akan disokong oleh insentif pelaburan dalam aktiviti terpilih dan untuk membangunkan taman perindustrian.

Izhar berkata, status istimewa dan insentif yang diperkenalkan untuk aktiviti kimia dan petrokimia berkata secara tidak langsung telah berjaya meningkatkan pertanyaan terhadap PIPC serta daya tarikannya.

“Kami sedang berusaha untuk membawa beberapa industri lain ke PIPC. Terdapat kira-kira 10 hingga 15 prospek yang berminat menjadikan PIPC sebagai lokasi pelaburan, tetapi perbincangan masih di peringkat awal.

“Kami telah berbincang dengan beberapa syarikat ini kira-kira satu atau dua tahun, dan sebahagian daripada mereka mula menunjukkan (minat) untuk membida (dan) mereka semakin hampir mempertimbang untuk membuat keputusan pelaburan akhir.

“Namun begitu, proses perbincangan masih berlangsung di pelbagai tahap peringkat. Saya percaya dengan pelbagai insentif yang bakal diperkenalkan dan semua itu, ia boleh memberikan lagi dorongan kepada mereka untuk membuat pelaburan di Pengerang Malaysia,” katanya.  

Izhar berkata sejumlah RM10 bilion nilai pelaburan direkodkan bagi fasa kedua pembangunan PIPC, yang turut termasuk keputusan pelaburan akhir Petronas dan rakan usaha samanya, Enilive SpA dan Euglena, bagi pembangunan kilang penapisan bio di PIC.

Beliau berkata minat ini turut disokong dasar seperti Dasar Tenaga Negara, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), yang memberi penekanan kepada pertumbuhan sektor berkaitan minyak dan gas serta tenaga.

 

 

KERANGKA EKONOMI MADANI, TINGKAT RANTAIAN NILAI SUMBER MANUSIA  

 

Bagi meningkatkan keyakinan pelabur di Pengerang, Izhar berkata dalam tempoh tiga hingga empat tahun lepas, JPDC mengesyorkan insentif khas diberikan kepada lokasi pembangunan minyak dan gas sebagai hab untuk menyokong dan mempromosikan aktiviti minyak dan gas hiliran serta petrokimia dan kimia.

Beliau berkata dalam tempoh enam hingga tujuh bulan lepas, JPDC, bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah menyediakan garis panduan kepada syarikat untuk memohon dan mendapatkan kelulusan insentif khas.

Menurutnya, permohonan bagi pakej insentif khas yang disasarkan kepada sektor pembuatan, serta pakej insentif cukai untuk pemaju taman perindustrian, telah dibuka mulai Oktober tahun lepas sehingga Disember 2028.

Mengenai sumber manusia, Izhar berkata JPDC komited untuk membawa masuk bakat terbaik.

Beliau berkata satu contoh memenuhi keperluan tenaga kerja adalah melalui Program Pembangunan Kontraktor (CDP), yang memberikan latihan sewajarnya dalam kemahiran dan kecekapan kepada kontraktor dan usahawan dalam industri hiliran minyak dan gas, petrokimia, dan kimia untuk memenuhi piawaian industri.

“Apa yang kami lakukan sekarang adalah membantu penyedia perkhidmatan yang lebih kecil dan yang mempunyai potensi menjadi lebih mahir dan cekap serta mempunyai keupayaan untuk terus kekal dalam industri.

“Pada masa ini, kami mempunyai 15 kontraktor tempatan di Johor yang menyediakan perkhidmatan kepada industri minyak dan gas hiliran yang telah diletakkan di bawah CDP.

“Kami yakin bahawa penyedia perkhidmatan Malaysia sebenarnya boleh berkembang, dengan syarat mereka diberi peluang untuk membina kemahiran, kecekapan dan sumber mereka seperti keupayaan kewangan. Apa yang mereka perlukan adalah bimbingan, nasihat, dan sokongan dari segi pembiayaan,” kata Izhar.

JPDC berkata usaha ini akan menyokong pertumbuhan industri di Pengerang, yang seterusnya membawa impak ke seluruh negara.

Selain itu, ia juga akan melahirkan pekerja mahir dan cekap yang akan membantu syarikat dan pelabur, sama ada asing dan tempatan, bukan sahaja bersaing untuk merebut peluang dalam industri minyak dan gas hiliran tempatan tetapi juga di luar Pengerang, di peringkat serantau dan global.

“Jadi, dalam jangka masa panjang, kami percaya kami memenuhi aspirasi ekonomi MADANI. Kami sedar bahawa pelbagai dasar mempunyai sasaran yang khusus, jadi semua ini perlu diselaraskan.

“Itulah keseluruhan perspektif di bawah MADANI yang buakan sahaja untuk mencipat peluang tetapi juga meningkatkan keupayaan pelbagai peserta dalam ekonomi,” kata Izhar.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan