KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Hanya 1.6 peratus daripada projek-projek pelaburan yang diluluskan dalam tempoh 2021 hingga Mac 2024 masih belum dilaksanakan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menerusi hantaran di laman sosialnya pada Selasa, beliau berkata bagi tempoh sama sebanyak 98.4 peratus projek pelaburan sama ada telah siap, sedang dilaksanakan, atau dalam perancangan.
“Apabila pelaburan itu diluluskan, ia hanya menunggu masa untuk dilaksanakan. Sangat jarang-jarang (berlaku) pelaburan yang diluluskan tidak dilaksanakan.
“Pelaburan diluluskan itu bermaksud permohonan syarikat-syarikat untuk melabur di Malaysia telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya.
Dalam hantaran berbentuk informasi itu, Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa memorandum persefahaman (MoU) tidak boleh dianggap sebagai pelaburan yang diluluskan.
Ini berikutan proses meluluskan pelaburan tidak mudah dan membabitkan keperluan memenuhi aspek ditetapkan terlebih dahulu sebelum lesen pengilang dapat diberikan.
“Jika hanya sekadar menghantar MoU, permohonan itu pasti tidak akan diluluskan. Itulah sebabnya apabila ada pihak yang memperlekehkan data pelaburan diluluskan, mereka sebenarnya tidak memahami betapa rumit prosesnya.
“Banyak syarat perlu dipenuhi dan ini menunjukkan keseriusan pihak yang benar-benar mahu melabur di negara kita,” katanya.
Antara perkara yang diberi keutamaan adalah permohonan syarikat menjalankan aktiviti perniagaan diluluskan di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975.
“Jadi, jika syarikat mempunyai dana pemegang saham sekurang-kurangnya RM2.5 juta atau menggaji sekurang-kurangnya 75 pekerja sepenuh masa, syarikat tersebut perlu memohon lesen pengilang terlebih dahulu,” katanya.
Pada masa sama, syarikat-syarikat perlu menyerahkan maklumat seperti butiran syarikat, industri, lokasi projek, produk dihasilkan, tempoh pelaksanaan projek, kos tahunan dan butiran pemegang saham kepada MIDA.
Selain itu, permohonan untuk melabur di Malaysia juga memerlukan maklumat mengenai jumlah pekerjaan yang akan diwujudkan, peratusan pekerja dalam kategori pengurusan, teknikal dan pekerja berkemahiran tinggi.
“Kita mahu mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat. Jika majoriti pekerja tidak mahir, bagaimana Malaysia hendak maju dalam jangka panjang?” katanya.
Tengku Zafrul berkata aspek penting lain adalah syarikat-syarikat yang mahu melabur di Malaysia perlu menyatakan sumber bahan mentah dan komponen digunakan dalam penghasilan utama produk atau projek masing-masing.
Menurutnya ini penting berikutan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menggalakkan penggunaan komponen dihasilkan secara tempatan, sekali gus membantu syarikat tempatan meningkatkan hasil mereka.
“Ini dapat mewujudkan syarikat-syarikat baharu bagi memenuhi keperluan kilang-kilang ini dan membolehkan ekosistem negara kita berkembang.
“Kita juga ingin mengetahui pasaran produk mereka, sama ada untuk eksport atau kegunaan tempatan. Jika untuk eksport, pendapatan negara akan meningkat dan syarikat juga perlu menyatakan unjuran pendapatan mereka,” katanya.
Aspek penting lain adalah penyelidikan dan pembangunan (R&D) iaitu syarikat yang melabur di Malaysia perlu mempunyai elemen itu dalam usaha memastikan teknologi tempatan dapat dibangunkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial