EKONOMI > BERITA

Ikea Malaysia Kurangkan Harga 2,000 Barangan, Pertingkat Jumlah EV

12/09/2024 05:30 PM

BATU KAWAN,12 Sept (Bernama) -- Kemampuan untuk membeli kekal sebagai teras IKEA Malaysia kerana syarikat itu komited untuk menjadikan perabot rumah yang direka dengan baik dan mampan dapat diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia di tengah-tengah kelembapan dalam pasaran runcit.

Pengarah Runcit Negara Malcolm Pruys berkata IKEA memperkenalkan harga baharu yang lebih rendah untuk lebih 2,000 produknya yang paling popular setelah melaksanakan pusingan awal pemotongan harga pada tahun ini bagi lebih 300 barangan.

“Di IKEA, visi kami ialah untuk sentiasa mencipta kehidupan seharian yang lebih baik kepada ramai orang. Di tengah-tengah peningkatan kos, misi kami adalah untuk memenuhi impian dan keperluan orang ramai adalah lebih kuat berbanding sebelum ini.

"Sama ada dompet yang lebih nipis, ruang kediaman yang lebih kecil atau keinginan untuk tidur yang lebih lena, pada 2025 kami tetap komited untuk membantu pelanggan kami mencipta kehidupan yang lebih baik di rumah, menjadikannya lebih mampu milik daripada yang mereka bayangkan," kata Pruys pada pelancaran Rangka Tindakan IKEA 2025 hari ini.

Menurut laporan IKEA Life at Home 2023, lebih satu pertiga rakyat Malaysia (38 peratus) menyatakan kewangan isi rumah dan pendapatan boleh guna sebagai kebimbangan utama mereka mengenai kehidupan di rumah diikuti oleh kebimbangan mengenai keadaan ekonomi (36 peratus).

Pruys menambah kemampuan adalah penting kepada perniagaan IKEA, terutamanya dalam iklim ekonomi semasa, yang mana pengguna lebih berhati-hati tentang perbelanjaan untuk perabot rumah.

"Dengan inflasi yang menurun, kami percaya inilah masanya untuk peruncit seperti IKEA melabur dalam penetapan harga dan bukannya keuntungan, memastikan seramai mungkin orang mampu membeli penyelesaian perabot rumah yang memenuhi keperluan mereka," katanya.

Di samping itu, IKEA sedang berusaha untuk menjadikan penyelesaian mampu miliknya lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia dengan cara yang mampan.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan jejak alam sekitarnya, IKEA akan menambah sembilan kenderaan elektrik (EV) kepada kumpulannya untuk digunakan bagi penghantaran jarak jauh menjelang akhir 2024, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 12 EV.

Bagi tahun depan, Pruys berkata pihaknya merancang lagi 10 EV dalam meningkatkan usaha untuk mencapai 100 peratus penghantaran rumah yang mampan menjelang 2030.

"Dengan e-dagang yang merangkumi 16.5 peratus daripada jumlah hasil pada tahun kewangan 2024, memperluaskan kumpulan EV kami adalah kunci kepada strategi pertumbuhan ‘omnichannel’ (perkhidmatan melalui pelbagai saluran termasuk digital) kami.

"Sebanyak 8,567 penghantaran telah dibuat melalui EV tahun lepas dan kami teruja untuk melihat jumlah ini berkembang apabila kami beralih kepada penyelesaian pengangkutan yang lebih mampan," tambahnya.

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan