EKONOMI > BERITA

Benchmark Electronics Buka Kemudahan Keempat Di Pulau Pinang

12/09/2024 05:34 PM

BATU KAWAN, 12 Sept (Bernama) -- Syarikat multinasional kejuruteraan, reka bentuk dan perkhidmatan pembuatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Benchmark Electronics hari ini membuka kemudahan keempatnya di Pulau Pinang dengan pelaburan US$20 juta (US$1=RM4.3285).

Naib Presiden Benchmark Group Datuk Dr Bala Murugan berkata kemudahan baharu itu yang terletak di Taman Perindustrian Batu Kawan berkeluasan lebih 8,000 meter persegi dengan kawasan untuk terus berkembang di tapak berkenaan.

Menerusi bangunan baharu berkenaan Benchmark kini akan mengekalkan lebih 40,000 meter persegi. kawasan pengeluaran di Pulau Pinang.

Beliau berkata dengan pembinaan kemudahan baharu Pulau Pinang, Benchmark kini menggaji kira-kira 1,500 orang di negeri itu, ia akan mengambil sehingga 200 orang dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Ini akan menjadi kemudahan keempat Benchmark di rantau ini dan akan menjadi tambahan penting kepada kemudahan sedia ada, membolehkan integrasi keupayaan utama dan akan memberi tumpuan terutamanya kepada pelanggan dalam sektor aeroangkasa komersial serta pelanggan yang membeli mesin dan peralatan digunakan dalam pembuatan peranti semikonduktor seperti mikrocip dan litar bersepadu.

"Ini menandakan satu pencapaian penting, menonjolkan keupayaan maju dan komitmen Benchmark untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan di kawasan itu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian kemudahan tersebut di sini hari ini.

Kemudahan baharu itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Benchmark Jeff Benck, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Loo Lee Lian dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Pulau Pinang Muhammad Ghaddaffi Sardar Mohamed.

Bala berkata Benchmark sedang mengembangkan kemudahan di Pulau Pinang untuk meningkatkan kapasiti bagi pelanggan baharu dan sedia ada, menyokong pertumbuhan jangkaan industri semikonduktor pada tahun 2025 serta meningkatkan keupayaan penyepaduannya.

Menurutnya, pengembangan itu akan membolehkan Benchmark meningkatkan kecekapan operasi, mengekalkan kualiti dan mempercepatkan masa untuk memasarkan produk pelanggan.

"Benchmark akan menawarkan keupayaan canggih seperti kimpalan e-beam, pemesinan lima paksi bersaiz besar, pembersihan type-2 dan sedang menubuhkan salah satu pusat pembuatan kimpalan dan bingkai terbesar di rantau ini," katanya.

Sementara itu, Jeff Benck berkata Benchmark Pulau Pinang adalah penting untuk mengembangkan operasi syarikat di Asia dan berhasrat untuk mengembangkan keupayaan pembuatan Benchmark di Malaysia.

"Kemudahan ini akan meningkatkan kapasiti dan kepakaran Benchmark, memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan sedia ada kami dan memenuhi minat yang semakin meningkat daripada pelanggan baharu,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata penyedia perkhidmatan kejuruteraan, reka bentuk dan pembuatan global yang berpangkalan di Tempe, Arizona (Amerika Syarikat), Benchmark Electronics mula menjalankan operasi di Pulau Pinang pada 2007.

Hari ini pengembangan baharu itu menampilkan beberapa penambahbaikan yang direka untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggannya termasuk peningkatan lebih 200 peratus dalam kapasiti pengeluaran, katanya.

"Peluasan ini adalah bukti komitmen Benchmark terhadap pertumbuhan dan inovasi di rantau ini," katanya.

Kemudahan baharu itu melengkapkan tiga kemudahan lain syarikat di Bayan Lepas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dalam satu kenyataan berasingan yang dikeluarkan selepas acara itu berkata pengembangan oleh Benchmark itu menggariskan kedudukan Malaysia sebagai pilihan utama untuk pelaburan serta mempamerkan ekosistem kukuh MIDA telah bina untuk pembuatan termaju.

“Kami teruja untuk melihat impak positif pengembangan ini terhadap masyarakat setempat daripada peluang pekerjaan baharu hinggalah meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan