EKONOMI > BERITA

Industri Pengurusan Dana Lepasi Pencapaian Trilion Ringgit - SC

12/09/2024 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Industri pengurusan dana melepasi pencapaian trilion ringgit sejak Februari tahun ini, didorong oleh prestasi yang teguh dalam pasaran ekuiti, terutamanya berikutan penilaian yang kukuh di Amerika Syarikat (AS), kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengarah Eksekutif Pembangunan Pasaran SC Salmah Bee Mohd Mydin berkata industri berkenaan berkembang pesat sejak sedekad lepas, dengan aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat lebih 65 peratus kepada RM975.5 bilion pada 2023 daripada RM588.4 bilion pada 2013.

"Dalam tempoh yang sama, kami melihat AUM industri terus diperluas dengan baik dalam pelbagai kelas aset dan ke pasaran serantau dan global," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) 2024 di sini hari ini.

Salmah juga menegaskan bahawa industri unit amanah merupakan tulang belakang sektor pengurusan dana dengan lebih 760 dana yang mempunyai pelbagai tawaran termasuk ekuiti domestik, global multi-thematic, dana tertumpu kepada China dan dana seimbang dan agresif.  

Pengurus dana dilihat meningkatkan peruntukan modal ke pasaran asing bagi meraih hasil yang lebih baik, dengan RM718.2 bilion (67 peratus) dilaburkan dalam negara dan RM351 bilion (33 peratus) ke luar negara.

"Trend yang sama turut berlaku dalam industri unit amanah, apabila kami melihat antara 2017 dan 2023, peningkatan konsisten bukan sahaja berlaku dalam bilangan dana yang melabur di luar negara tetapi juga pertumbuhan dalam jumlah pelaburan.

"Pada 2023, RM135.76 bilion daripada RM499.88 bilion dalam nilai aset bersih (NAB) dana unit amanah diperuntukkan di luar Malaysia, mewakili peningkatan 2.5 kali ganda berbanding 2017,” katanya.

Antara 2018 dan 2024, bilangan dana unit amanah yang ditawarkan meningkat sebanyak 18 peratus kepada 764.

Sementara itu, jumlah NAB meningkat 28 peratus kepada RM545 bilion manakala industri itu menyaksikan pertumbuhan 23 peratus dalam bilangan akaun, berjumlah 26 juta, dalam tempoh lima tahun lepas.

Salmah turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran simpanan untuk persaraan dan mempromosikan penyelesaian yang inovatif bagi membantu rakyat Malaysia menabung untuk persaraan. 

Ini termasuk menyediakan pilihan untuk menguruskan dana persaraan bagi mengurangkan risiko menyimpan lebih lama, katanya. 

"Syarikat pengurusan dana dan perancang kewangan merupakan perantara utama dan memainkan peranan penting dalam mendidik rakyat Malaysia mengharungi tempoh persaraan mereka. SC menyedari hal ini dan kepentingan penyelesaian yang inovatif yang boleh membantu pesara mengurus dan mengeluarkan simpanan mereka dengan cekap.  

"SC terbuka dalam memudahkan inovasi dan dalam hal ini saya mengalu-alukan pihak yang berminat untuk membincangkan perkara ini dengan SC," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan