EKONOMI > BERITA

Konvensyen V-Malaysia QNET 2024 Himpun 8,000 Peserta Daripada 30 Negara

12/09/2024 09:53 PM

GEORGE TOWN, 12 Sept (Bernama) -- Konvensyen V-Malaysia QNET 2024, acara lima hari yang bermula hari ini menghimpunkan kira-kira 8,000 peserta daripada 30 negara sekali gus mengukuhkan status konvensyen dua kali setahun itu sebagai perhimpunan antarabangsa utama.

QNET, peneraju global dalam jualan langsung yang menumpukan kepada kesihatan dan gaya hidup berkata, acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia SPICE Pulau Pinang itu bertujuan meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) antarabangsa.

Dalam kenyataan hari ini, katanya konvensyen itu akan mempamerkan jam tangan dan barang kemas jenama QNET, Bernhard H. Mayer's Serendipity Collection, menampilkan barang kemas yang diperbuat daripada bahan lestari dan jam tangan Wave Rider edisi terhad.

Ini menekankan komitmen QNET terhadap kemewahan mampan.

Ketua Operasi Serantau QNET, Pushpalatha Balan berkata V-Malaysia bukan sahaja sebagai konvensyen malah adalah platform untuk memacu kecemerlangan dan kemampanan perniagaan.

“Tema kami, Unstoppable mencerminkan dedikasi kami untuk memberi inspirasi kepada perubahan positif dan memupuk usahawan yang berdaya tahan dan inovatif. Dengan memperkenalkan barisan produk baharu yang lestari, kami menyasarkan untuk memenuhi keperluan pelanggan di samping menggalakkan masa depan yang lebih lestari,” katanya.

Puspalatha berkata QNET bekerjasama rapat dengan V-Global Management (The V) untuk memastikan kejayaan konvensyen itu.

“The V terkenal dengan kepakarannya dalam latihan global dan pengurusan acara. Sebagai rakan kongsi strategik, ia memainkan peranan penting dalam pengembangan dan komunikasi perniagaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata Pulau Pinang telah menyaksikan lonjakan ketara dalam pelancongan dan pengiktirafan antarabangsa sejak pertama kali menganjurkan Konvensyen V-Malaysia pada 2008.

“Kehidupan dan perdagangan aktif yang dibawakan QNET dalam setiap acara telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ini. Apabila syarikat seperti QNET mengulangi acara berskala besar, ia menyumbang kepada kewujudan pekerjaan sementara dan tetap dalam pelbagai sektor terutama perhotelan, pelancongan dan pengurusan acara,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh 2023 dan 2024, ekonomi Pulau Pinang mencatat pertumbuhan besar, didorong pemulihan semula sektor pelancongan, mencatat hampir tujuh juta pergerakan penumpang pada 2023 -- peningkatan 64.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Antara agenda komprehensif Konvensyen V-Malaysia adalah sesi latihan perniagaan, ucapan motivasi dan pameran produk, menawarkan peluang untuk perkembangan peribadi dan profesional peserta.

QNET berkata kerjasama dengan Tourism Malaysia menekankan kepentingan strategik dalam acara sedemikian untuk mempromosikan gabungan unik antara perniagaan dan pelancongan senggang negara.

QNET adalah antara syarikat jualan langsung berasaskan e-dagang terkemuka di Asia, menawarkan pelbagai produk kesihatan, kesejahteraan dan gaya hidup yang telah membantu memperkasa jutaan usahawan lebih 100 negara.

QNET yang beribu pejabat di Hong Kong beroperasi di lebih 25 negara di seluruh dunia melalui anak syarikat, pejabat cawangan, perkongsian agensi dan pemegang francais.

-- BERNAMA

 

(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini)

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan