EKONOMI > BERITA

MATRADE Bawa Pemain Industri Permainan Ke Tokyo, Pertingkatkan Kehadiran Global Malaysia

13/09/2024 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan membawa 10 pemain industri permainan Malaysia ke salah satu pameran permainan terbesar di Asia, Tokyo Game Show (TGS) 2024, untuk meningkatkan kehadiran permainan global Malaysia.

10 pembangun permainan dan studio animasi Malaysia ialah Adticles, Ammobox Studios, Bear Down Studios, Dreamscapes Edtech, Esolved MSC, Goolee, Magnus Games Studio, Rcade Studio, Why Knot dan Todak Studios.

Syarikat-syarikat itu akan ditempatkan di bawah Pavilion Malaysia, diselaraskan oleh MATRADE dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata penyertaan MATRADE di TGS 2024 dengan kerjasama rapat dengan MDEC, merupakan inisiatif strategik untuk meletakkan studio Malaysia dalam ekosistem permainan global.

“Jepun mempunyai jumlah ‘gamers’ (pemain) yang tinggi dengan pangkalan pengguna diunjurkan mencecah 66 juta menjelang 2029.

“Dari segi pendapatan, pasaran permainan Jepun diramal menjana US$44.41 bilion (US$1 = RM4.33) menjelang akhir 2024, menjadikannya salah satu pasaran permainan terbesar dan paling menguntungkan di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi MDEC Syed Ibrahim Syed Noh berkata perkongsian itu menekankan komitmen MDEC dan MATRADE untuk mengangkat bakat dan perniagaan tempatan ke pentas global, memupuk inovasi dan memacu pertumbuhan ekonomi digital.

TGS 2024 dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 29 September 2024 di Makuhari Messe, Chiba (Jepun).

MATRADE Tokyo akan menyelaraskan aktiviti yang memberi impak di Pavilion Malaysia iaitu padanan perniagaan, sesi ‘networking’ (perangkaian) dan pendedahan media, pada masa sama, MDEC akan mengadakan mesyuarat peringkat tinggi dengan penerbit permainan Jepun dan inkubator teknologi sepanjang acara yang berlangsung selama empat hari itu.

Lebih 700 peserta pameran akan menyertai TGS 2024 termasuk pemain utama Jepun seperti Nintendo, Sony PlayStation, Sega, Square Enix, Capcom, Bandai Namco dan Konami.

Pasaran permainan global dianggarkan mencecah US$503.14 bilion menjelang 2025 dengan Asia Pasifik akan kekal sebagai pasaran permainan teratas di seluruh dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan