EKONOMI > BERITA

Kemajuan Agenda Pembangunan Mampan 2030 Perlu Disemak Seiring Pertumbuhan Ekonomi - Hanifah Hajar

17/09/2024 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Kemajuan negara dalam menuju Agenda Pembangunan Mampan 2030 perlu disemak seiring dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.

Beliau berkata kini adalah masa yang sesuai untuk menilai semula kemajuan itu berikutan sasaran iklim negara terjejas dengan ketara akibat pandemik COVID-19.

Malaysia juga katanya mengalami  kesan perubahan iklim yang teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Di Malaysia, banjir di Perlis dan Kedah, diikuti dengan kemarau yang berpanjangan, mencerminkan corak cuaca ekstrem yang dilihat di seluruh dunia.

"Petunjuk terkini tentang pergolakan udara yang jelas mengganggu pesawat juga menjadi kebimbangan untuk perjalanan. Ini bukan peristiwa terpencil tetapi sebahagian daripada trend global yang membimbangkan dan tidak dapat diramalkan," katanya pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (SDG) 2024 di sini hari ini.

Hanifah Hajar dalam pada itu menekankan perlunya kerjasama padu dalam kalangan semua pihak berkepentingan untuk mencapai agenda mampan Malaysia 2030, yang hanya tinggal enam tahun lagi.

"Ini selaras dengan inisiatif holistik Madani untuk merealisasikan pendekatan seluruh negara," katanya.

Beliau turut menggesa peserta sidang kemuncak itu menyumbangkan pandangan berharga untuk membantu membentuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan melakar perjalanan negara sehingga 2030.

Menerusi RMK-12 dan Kajian Separuh Penggalnya, ia menonjolkan langkah proaktif kerajaan untuk menangani cabaran ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Dasar-dasar ini bukan sekadar reaksi kepada tekanan global tetapi sejajar dengan Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pembangunan Mampan dan rangka kerja Ekonomi Madani.

"Matlamat kami yang tidak berbelah bahagi adalah untuk tidak meninggalkan sesiapa pun," katanya.

Rangka kerja itu memfokuskan kepada lima bidang teras, termasuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan menarik pelaburan asing, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana, dan menerokai sektor yang sedang pesat membangun seperti ekonomi digital.

Selain itu, Malaysia menangani kos sara hidup dengan menguruskan inflasi, merasionalisasikan subsidi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

"Kerajaan turut menumpukan kepada penciptaan pekerjaan. Fokus diberikan dalam pendidikan, latihan kemahiran dan menyokong industri pertumbuhan tinggi untuk menjana pekerjaan yang bermakna dan bergaji tinggi yang akan menyediakan tenaga kerja kami untuk masa depan.

“Pertumbuhan sahaja tidak mencukupi. Untuk mencapai kemampanan sebenar, kita mesti menjalani pembaharuan struktur transformatif," katanya.

Beliau berkata pembaharuan ini, yang berpusat kepada rangka kerja ekonomi tersebut direka untuk meningkatkan kecekapan, meningkatkan daya saing dan menggalakkan keterangkuman.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan