EKONOMI > BERITA

MIHAS Sertai Pameran Di Dubai November Ini, Sasar Jualan Eksport RM1 Bilion - Tengku Zafrul

17/09/2024 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) akan melangkaui sempadan domestik melalui penampilan sulungnya di luar negara iaitu MIHAS@Dubai dengan sasaran jualan eksport sebanyak RM1 bilion pada 18 hingga 20 November depan. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia mahu memanfaatkan status Dubai sebagai bandaraya entrepot dan hab utama pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) bagi pengimportan dan pengedaran barangan buatan Malaysia ke negara serantau.

“Saya yakin syarikat Malaysia yang menyertainya akan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian MIHAS 2024 di sini hari ini.

Ia dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut merancang untuk menganjurkan MIHAS peringkat antarabangsa di negara lain seperti China dan Eropah pada masa hadapan.

Menurutnya, selain itu MITI telah diberi mandat untuk meneraju penyertaan Malaysia di Ekspo Dunia Osaka, dan bagi tonggak ekonomi sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun depan.

“Syarikat Malaysia dijemput untuk menyertai kami melalui program berkaitan ASEAN di Malaysia, dan Ekspo Dunia Osaka yang akan berlangsung selama enam bulan daripada April hingga Oktober 2025 bagi meninjau pelbagai peluang perniagaan di peringkat antarabangsa terutama di Jepun,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) yang diteraju MATRADE menyokong usaha meletakkan Malaysia sebagai negara perdagangan yang dinamik dan hab halal global, sejajar dengan hala tuju Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

“Kita mahu mewujudkan kluster eksport serta menarik syarikat global untuk menyumber produk dan perkhidmatan halal dari Malaysia, termasuk daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya. 

Beliau berkata, bagi meningkatkan eksport halal Malaysia, MITI dan MATRADE turut menggalakkan pengeksport Malaysia memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Nilai eksport halal Malaysia pada 2023 mencecah hampir RM55 bilion, iaitu tahun kedua berturut-turut ia melepasi paras RM50 bilion, katanya.

“Sungguhpun berdepan cabaran ekonomi global, Malaysia kekal berada di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023 (GIEI),” katanya sambil memaklumkan permintaan untuk produk dan perkhidmatan halal global diunjurkan mencecah nilai US$5 trilion pada 2030.

Tengku Zafrul berkata melalui Pelan Induk Industri Halal (HIMP 2030), syarikat Malaysia akan diperkasakan untuk turut merebut peluang itu, dengan menyasarkan eksport halal sebanyak RM75.2 bilion atau 11 peratus kepada KDNK negara menjelang 2030.

Sementara itu, pada pelancaran hari ini, MIHAS menerima pengiktirafan daripada Guinness World Records untuk 'Largest Attendance in Halal Trade Show.’ (Jumlah kehadiran terbesar dalam pameran perdagangan halal).

Sejak 2004, MIHAS telah memanfaatkan hampir 17,000 pengeksport Malaysia dan pembeli asing dengan menjana hampir RM25 bilion jumlah jualan, menarik 500,000 pelawat perdagangan dan melonjakkan nama Malaysia ke pentas global.

Bertemakan 'Mengglobalisasikan Inovasi Halal,' pameran empat hari bermula hari ini hingga 20 September dianjurkan oleh MATRADE dan MITI serta diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan