EKONOMI > BERITA

Pengerusi ASEAN Yang Baharu Akan Tingkat Perdagangan Dengan ASEAN Plus : Matrade

17/09/2024 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN menjelang tahun hadapan akan membuka peluang yang sangat baik kepada negara untuk mengembang serta mengukuhkan hubungan perdagangan, bukan sahaja dengan anggota ASEAN tetapi dengan negara-negara ASEAN Plus, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitah ASEAN merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia, merangkumi hampir 26 peratus daripada perdagangannya, manakala kira-kira 18 peratus daripada jumlah eksport global Malaysia ditujukan ke rantau ini.

“Dengan kepimpinan Malaysia dalam ASEAN, kita akan mempunyai peluang yang lebih besar bagi mengembang dan meningkatkan hubungan perdagangan, bukan sahaja dengan ASEAN tetapi juga dengan rakan kongsi ASEAN Plus.

“Semasa Sidang Kemuncak ASEAN, kita biasanya melibatkan rakan kongsi ASEAN Plus iaitu ASEAN Plus China, ASEAN Plus India serta ASEAN Plus Korea. Semua ini adalah rakan strategik ASEAN,” kata Reezal pada sidang media semasa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.

MIHAS 2024 ke-20 dirasmikan hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas impak MIHAS 2024 dalam membentuk masa depan industri halal, Reezal menekankan potensi besar sektor halal.

Beliau menegaskan bahawa ekonomi halal kini bernilai US$3 trilion, dengan permintaan global untuk produk dan perkhidmatan halal diunjurkan mencecah US$5 trilion menjelang 2030. (US$1 = RM4.30).

“Ia akan seiring dengan peningkatan pengguna Islam. Pada masa ini, pengguna Islam berjumlah 1.9 bilion. Angka ini akan melonjak kepada 2.3 bilion pada 2030, membentuk hampir 26 peratus daripada populasi dunia,” katanya.

Reezal berkata, produk halal bukan sahaja ditujukan untuk pengguna Islam tetapi semakin mendapat tempat di pelbagai negara.

“Pemilihan ini adalah disebabkan oleh produk serta perkhidmatan halal yang selaras dengan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus tertentu, terutamanya mengenai kebersihan, keselamatan serta keseluruhan proses pengeluaran termasuk kandungannya. Penjajaran ini menjadikan produk halal mendapat pemintaan yang tinggi,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan