EKONOMI > BERITA

Belanjawan 2025: BIMB Securities Jangka Defisit Fiskal Malaysia Rendah Pada 3.5 Peratus

18/09/2024 02:11 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- BIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan defisit fiskal yang lebih rendah sebanyak 3.5 peratus sejajar dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk Belanjawan 2025. 

BIMB Securities dalam laporannya hari ini menjelaskan di bawah RMK-12, kedudukan imbangan fiskal Malaysia diramalkan berubah lebih rendah pada jajaran 3.5 hingga 3.0 peratus menjelang 2025, sambil menambah bahawa pengurangan itu mungkin disebabkan perbelanjaan pembangunan yang lebih rendah (DevEx)

“Selepas mencatatkan lebih daripada RM90 bilion DevEx dalam tempoh dua tahun lalu, kami menjangkakan DevEx berada pada RM78.3 bilion menjelang 2025,” katanya.

Kerajaan telah memulakan langkah bagi mengurangkan perbelanjaan mengurus (OpEx) melalui inisiatif rasionalisasi subsidi, antara langkah lain, tetapi garis masa rasionalisasi subsidi RON95, yang mewakili sebahagian besar daripada jumlah subsidi, masih tidak menentu.

“Kami percaya sebarang perubahan dalam subsidi petrol adalah sensitif khususnya kerana ia menjejaskan kos sara hidup dan tekanan inflasi.

“Sebaliknya, terdapat tekanan menaik terhadap OpEx, terutamanya dengan kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.

Mengurangkan OpEx adalah satu kaedah untuk menangani defisit fiskal tetapi ini menimbulkan cabaran kepada kerajaan, sementara mengehadkan DevEx boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi keseluruhan dalam jangka sederhana dan panjang.

Namun, ia tidak menjangkakan cukai penggunaan baharu dalam Belanjawan 2025 akan datang.

“Memandangkan rang undang-undang cukai barang dan perkhidmatan telah dimansuhkan pada 2018, rang undang-undang cukai penggunaan baharu perlu dibentangkan di Parlimen,” kata laporan itu sambil menambah ini akan mengambil masa untuk dilaksanakan. 

Menurut BIMB Securities, defisit fiskal Malaysia diunjurkan lebih rendah daripada 2.0 peratus di bawah empat senario yang berpotensi seperti tiada cukai penggunaan baharu serta pengurangan sebahagian daripada subsidi bahan api; tiada cukai penggunaan baharu dan pemotongan sepenuhnya subsidi bahan api; cukai penggunaan baharu manakala status quo subsidi RON95 kekal dan cukai penggunaan baharu dengan pengurangan penuh subsidi bahan api.

Laporan itu berkata walaupun subsidi bahan api kekal, "5.0 peratus daripada cukai penggunaan akan meningkatkan hasil kerajaan sebanyak RM16 bilion selain menurunkan defisit fiskal kepada 2.3 peratus," katanya. 

Belanjawan 2025 diunjurkan akan terus menangani isu-isu makroekonomi serta mikroekonomi, menyediakan sokongan tunai langsung kepada kumpulan yang terdedah, menangani cabaran pendidikan termasuk penjagaan kesihatan selain menawarkan insentif bagi rumah mampu milik dan pembeli rumah kali pertama.

Dengan jangkaan pelancaran kenderaan elektrik (EV) buatan tempatan pada 2025, BIMB Securities meramalkan Belanjawan 2025 akan mempunyai rebat tunai khusus untuk meningkatkan penguasaan EV dalam pasaran kereta penumpang Malaysia.

“Selain itu, sokongan fiskal serta suntikan untuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) akan diteruskan dan diperluaskan,” katanya. 

BIMB Securities juga percaya Belanjawan 2025 akan memperincikan projek berterusan yang digariskan dalam Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030), manakala butiran projek-projek yang berpotensi akan disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan dasar fiskal akan datang.

PIKAS 2030, yang menampilkan 37 projek sedang berjalan serta 41 projek berpotensi, akan terus memastikan firma-firma pembinaan sibuk sepanjang dekad akan datang. 

“Pembangunan rel berkelajuan tinggi, Melaka International Aero-City Hub serta Lebuhraya Kuantan-Singapura adalah antara projek berpotensi utama selepas 2025 yang kami percaya akan memberi kesan kepada pembinaan dan keluaran dalam negara kasar Malaysia,” tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan