EKONOMI > BERITA

Syarikat Insurans, Pengendali Takaful Digesa Kembang Kapasiti, Rapat Jurang Perlindungan - Gabenor BNM

18/09/2024 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Syarikat insurans dan pengendali takaful perlu mengembangkan kapasiti mereka dan berusaha untuk merapatkan jurang perlindungan kritikal serta mengukuhkan jaringan keselamatan kewangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, ini termasuk melakukan penyesuaian dan inovasi dalam beberapa bidang, iaitu dengan memanfaatkan teknologi dan penyelesaian digital untuk merapatkan jurang perlindungan, meningkatkan perlindungan dengan usaha pencegahan, mewujudkan ekosistem insurans yang lebih inklusif dan bersedia untuk memenuhi keperluan rantau ini.

Menurut Abdul Rasheed, sektor insurans dan takaful Malaysia berada di persimpangan penting yang mana mekanisme perlindungan boleh meningkatkan kestabilan dan daya tahan ekonomi.

“Berbanding tahun lalu, premium perniagaan baharu dalam industri insurans hayat dan insurans am mencatat pertumbuhan dua angka pada separuh pertama 2024, melebihi RM20 bilion.

“Begitu juga, sektor takaful keluarga dan takaful am juga menunjukkan pertumbuhan kukuh, dengan jumlah caruman melebihi RM7 bilion,” katanya semasa berucap pada pelancaran Institut Insurans Asia (Aii), di sini, hari ini.

Aii yang dahulunya dikenali sebagai Institut Insurans Malaysia (MII) memulakan penjenamaan semula strategik bagi mencerminkan matlamatnya untuk meneraju pendidikan insurans dan pembangunan profesional di seluruh Asia.

Abdul Rasheed berkata sektor insurans dan takaful menyaksikan pasaran insurans yang semakin saling berkaitan berikutan penyepaduan serantau yang kian berkembang.

“Dengan lebih 650 juta populasi di ASEAN sahaja, sektor insurans dan takaful mempunyai peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk meluaskan jangkauan dan mempelbagaikan tawaran mereka bagi memenuhi pelbagai keperluan perlindungan di seluruh rantau ini.

“Selain itu, industri boleh memanfaatkan kumpulan pakar yang lebih luas sambil memanfaatkan sumber modal yang lebih besar, memperkukuh keupayaannya untuk membangunkan produk inovatif dan memenuhi keperluan perlindungan lebih besar,” katanya. 

Beliau berkata BNM aktif meletakkan asas bagi landskap perlindungan yang kompetitif, cekap dan inklusif untuk sektor ini.

Menurutnya, ini melibatkan usaha memodenkan rangka kerja kawal selia sedia ada, menjadikannya lebih berasaskan prinsip sambil membuka ruang kepada pengendali insurans dan takaful untuk berinovasi dan menguji penyelesaian baharu.

“Berpandukan prinsip kesaksamaan, keseimbangan dan keberkecualian, kita telah memperbaharui sandbox kawal selia kita dan memperkenalkan Rangka Kerja Pelesenan dan Kawal Selia untuk Syarikat Insurans Digital dan Pengendali Takaful.

"Langkah-langkah ini bertujuan untuk membantu industri menyampaikan nilai yang kukuh dan bermakna yang menyokong matlamat keterangkuman, persaingan dan kecekapan," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan