EKONOMI > BERITA

Malaysia Berpotensi Tingkatkan Pelaburan Di Laos - Duta

26/09/2024 11:06 AM

Daripada Norsyafawati Ab Wahab

VIENTIANE (LAOS), 26 Sept (Bernama) -- Malaysia berpotensi untuk meningkatkan pelaburannya di Laos terutamanya dalam sektor tenaga boleh baharu, pertanian, pelancongan dan infrastruktur, kata Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud.

Beliau berkata potensi ini sejajar dengan hubungan dua hala selama 58 tahun antara Malaysia dan Laos yang terus kukuh dengan kedudukan Malaysia sebagai pelabur keempat terbesar di negara itu, selepas China, Thailand dan Vietnam. 

“Walaupun dari segi jumlah perdagangan adalah kecil tetapi kita merupakan pelabur asing keempat terbesar di Laos. Dalam tempoh Januari hingga Jun pada tahun ini sahaja, jumlah dagangan kita kira-kira RM48.3 juta. 

“Ini merupakan satu pencapaian kepada Malaysia yang turut dibantu oleh hampir 200 orang diaspora Malaysia yang berada di sini yang terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata pelaburan terbesar oleh syarikat Malaysia di Laos ialah Projek Tenaga Hidro Don Sahong dijalankan oleh Mega First Corp Bhd di wilayah Champasak yang berkapasiti 260 megawatt bernilai US$430.32 juta.

“Tenaga yang dihasilkan oleh fasiliti itu dijual kepada Electricite du Laos (EDL), syarikat milik kerajaan Laos yang kemudian dijual semula kepada Kemboja,” katanya, sambil menambah Mega First memegang konsesi projek itu sehingga 2045. 

Beliau berpendapat kedua-dua negara mempunyai potensi dalam sektor tenaga boleh baharu dan Malaysia boleh berkongsi kepakarannya dan teknologi berkaitan bidang tersebut dengan Laos secara lebih meluas. 

Katanya pelaburan oleh syarikat Malaysia, Agrotech Pro Ltd menerusi pembangunan projek Agro Vege Farm seluas 40 hektar di Champasak melibatkan kerjasama dengan kerajaan Laos bagi tanaman sayur-sayuran, membuktikan Malaysia mempunyai kelebihan dalam teknik pertanian moden dan bernilai tinggi untuk diketengahkan di Laos. 

Edi Irwan juga berkata Malaysia kini menjadi destinasi pilihan pelancong dari Laos dengan seramai 16,781 pengunjung dari negara itu dicatatkan pada tahun lepas.

“Ini merupakan jumlah yang memberangsangkan berdasarkan Laos mempunyai jumlah penduduk hanya kira-kira 7.5 juta orang. Malah, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, jumlah pelancong dari Laos mencecah 7,059 orang.

“Kita menjangka jumlah ini akan terus meningkat susulan operasi penerbangan terus oleh AirAsia (Kuala Lumpur-Vientiane) sebanyak dua kali seminggu yang telah bermula sejak Julai lepas,” katanya. 

Sebagai negara sedang membangun, katanya Laos kini giat melabur dalam pembangunan infrastruktur dan Malaysia perlu mengambil peranan sebagai rakan ASEAN untuk menyokong usaha itu melalui pelaburan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti yang berkaitan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan